Onn Hafiz melakukan lawatan ke KK Gelang Patah, Iskandar Puteri bagi melihat keadaan dan peralatan yang ada

JOHOR BAHRU – Klinik Kesihatan (KK) Gelang Patah, Majidee dan Tebrau akan naik taraf dengan peruntukan RM2 juta disalurkan kerajaan negeri.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, peruntukan itu untuk jangka masa pendek membabitkan naik taraf peralatan dan kemudahan.

Antaranya mesin ultrasound, pendingin hawa, kerusi di ruang menunggu, kipas dinding, komputer, meja, mesin pencetak, ambulan serta kerusi doktor dan jururawat.

Melalui hantaran di Facebook, beliau berkata, peruntukan itu disalurkan selepas lawatannya ke KK Gelang Patah baru-baru ini.

“Saya telah mengadakan perjumpaan bagi membincangkan isu klinik kesihatan yang daif, uzur, dan sesak di Johor iaitu KK Gelang Patah, KK Majidee, KK Tebrau dan KK Kulai.

“Dalam perjumpaan intu, kami membincangkan pelbagai isu dan mencadangkan penyelesaian secara berfasa untuk menangani masalah tersebut,” ujarnya.

Katanya, bagi penyelesaian jangka masa sederhana kerajaan negeri akan memperuntuk RM1 juta bagi pemindahan perkhidmatan Klinik Ibu dan Anak KK Gelang Patah ke premis lain.

Langkah ini bagi menampung keperluan dan kepadatan penduduk di kawasan tersebut.

Menurut Onn Hafiz, sebanyak RM1 juta juga diperuntukkan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) untuk kemudahan tempat letak kereta orang awam di KK Gelang Patah.

Tambahnya, langkah penyelesaian jangka masa panjang pula melibatkan pembinaan KK Gelang Patah, KK Majidee dan juga KK Kulai yang baharu dan tapak tanah sudah dikenal pasti.

Kerajaan negeri yakin dengan bantuan dan sokongan kerajaan Persekutuan, isu klinik daif dan uzur ini dapat diselesaikan.

“Semoga segala usaha dalam menambah nbaik fasiliti kesihatan yang dilaksanakan ini dapat diterjemahkan demi keselesaan Bangsa Johor sekali gus memberi impak positif daripada segi kualiti kehidupan seharian,” katanya.

Pada bulan lalu, Onn Hafiz dalam lawatan mengejutnya ke KK Gelang Patah melahirkan rasa kecewa dan sedih dengan keadaannya yang disifatkan sangat daif.

Beliau dalam lawatan itu turut berkongsi keadaan ruang menunggu yang sesak dan sempit, selain keadaan fasiliti seperti kerusi, kipas dan pendingin hawa yang usang serta rosak.

Selain itu, kemudahan parkir yang terhad dan tidak tersusun di kawasan klinik dan berlaku kekurangan aset seperti mesin ultrasound dan komputer.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here