Pengamal media menunggu di sidang media pengumuman barisan Jemaah Menteri di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Tiga persatuan wartawan, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM), Centre for Independent Journalism (CIJ) dan Gerakan Media Merdeka (GERAMM) menuntut penjelasan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung cadangan pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Ketiga-tiga persatuan itu meminta menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi penjelasan berikutan terdapat desas-desus menyatakan syarat dan penalti bagi media akan diperluas dan diperketatkan di bawah pindaan berkenaan.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, pindaan oleh pihak KDN termasuk mengembalikan keperluan pembaharuan lesen (setiap tiga tahun) dan meluaskan takrifan penerbitan, termasuk kandungan digital dan elektronik.

“Ini menimbulkan kebimbangan tentang bagaimana platform dalam talian dan kandungan yang dihasilkan pengguna akan dipantau dan dikawal,” katanya menerusi kenyataan bersama, hari ini.

Menurut kenyataan itu, cadangan tersebut akan menimbulkan kebimbangan tentang bagaimana platform dalam talian dan kandungan yang dihasilkan pengguna akan dipantau dan dikawal.

Malah, pindaan terhadap Akta ini juga dikatakan akan memperluas hukuman jenayah dan memperkenalkan penalti yang lebih berat, ujarnya.

“NUJM, CIJ dan GERAMM memandang serius perkhabaran ini kerana ia dikhuatiri adalah benar dan akan memberi impak besar kepada organisasi dan petugas media serta terus mengugat kebebasan media di Malaysia.

“Sehubungan itu, kami menggesa pihak KDN untuk tampil memberi penjelasan dan memaklumkan kepada kami situasi sebenar, membabitkan cadangan pindaan berkenaan, bagi membolehkan kami memberi penjelasan kepada rakan-rakan media yang lain serta memenuhi kepentingan awam,” katanya.

Mengulas lanjut, NUJM, GERAMM dan CIJ berkata, kerajaan sepatutnya menunjukkan minat terhadap komitmen mereka terhadap reformasi dengan tiada usaha untuk menjejaskan kebebasan media, terutamanya bila kerajaan merancang untuk membentangkan Rang Undang-undang Majlis Media Malaysia.

“Kami menyeru semua pihak untuk sentiasa mengadakan perbincangan bermakna dengan pihak-pihak berkepentingan sebelum mengambil sesuatu keputusan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here