KOTA TINGGI – Seorang wanita berdepan detik cemas selepas kereta mewah dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta lain di Kilometer 18 Jalan Kuala Sedili-Tanjung Balau di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Yusof Othman berkata, kejadian pada pukul 10.45 malam itu melibatkan kereta jenis Porsche dipandu mangsa dengan sebuah Perodua Kancil.
“Kemalangan berlaku semasa mangsa yang berusia 42 tahun dalam perjalanan dari Sedili menghala Sungai Rengit.
“Porsche kemudian terlibat kemalangan dengan Perodua Kancil sebelum terbakar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan kerana wanita berkenaan sempat keluar dan melarikan diri semasa kejadian.
Menurut beliau, kedua-dua pemandu kereta berkenaan hanya cedera ringan.
Yusof berkata, kes disiasat bawah Seksyen Rule 10 LN 166/59 Kaedah-kaedah Lalu Lintas.
“Polis menasihatkan orang ramai sentiasa peka dan mematuhi undang-undang serta peraturan bagi menjaga keselamatan bersama di jalan raya,” ujarnya.- MalaysiaGazette