ALOR GAJAH – Waris kepada Allahyarham Hasnatul Adilah Hassan, 49, guru yang meninggal dunia dalam kemalangan bas ketika menyertai rombongan sekolah ke Terengganu Jun lalu menerima manfaat perlindungan takaful dan khairat kematian Simpan SSPN berjumlah lebih RM129,000.
Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim berkata, arwah adalah pendeposit Simpan SSPN Prime yang telah membuka akaun untuk dua orang anaknya yang masih belajar ketika itu pada 15 Jun 2020.
Menurutnya, simpanannya telah yang melayakkan beliau menerima manfaat perlindungan takaful berjumlah RM1,230.86 berserta khairat kematian berjumlah RM2,000.
“Untuk akaun Simpan SSPN Plus buat dua orang anaknya di bawah Pakej Intan dengan komitmen sebanyak RM30 sebulan seorang, beliau sebagai pendeposit telah dilindungi dengan manfaat perlindungan takaful (kematian kemalangan) berjumlah RM120,000 dan khairat kematian berjumlah RM6,000.00.
“Ini menjadikan keseluruhan manfaat Simpan SSPN yang diterima warisnya adalah berjumlah RM129,230.86 yang diharap dapat membantu meringankan beban kewangan waris pendeposit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui MalaysiaGazette pada Program Ziarah PTPTN Prihatin di kediaman keluarga arwah di Masjid Tanah, di sini.
Nilai manfaat itu disampaikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan Pengerusi PTPTN, Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim yang menziarahi lima anak arwah, Muhammad Daniel Saifullizan, 26, Nur Humairah, 24, Nur Mujahadah, 22, Muzaffar Shah, 20 dan Muhammad Farouq Fadhlan, 12.
Hadir sama Pengurus Besar Kanan, Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Pengarah Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Melaka, Mas Anisah Ayu Othman.
Mengulas lanjut Norliza berkata, nilai manfaat yang diterima itu pastinya dapat menjamin masa depan pendidikan anak-anak arwah.
”Penabungan dalam Simpan SSPN dapat membantu meringankan beban kewangan waris pendeposit. Sememangnya nilai manfaat ini tidak dapat mengembalikan nyawa insan yang tersayang, namun dengan manfaat yang diterima dapat memastikan pendidikan anak-anak Allahyarhamah dapat diteruskan dan kelangsungan hidup mereka lebih terjamin.”
“Sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), PTPTN sentiasa komited memastikan aspek pendidikan terus terpelihara,” tambahnya lagi.
PTPTN mempunyai dua produk simpanan iaitu Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus yang menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat.
Simpan SSPN Prime menawarkan keistimewaan perlindungan takaful percuma secara Ringgit ke Ringgit kepada pendeposit yang mempunyai simpanan lebih RM1,000 sekiranya berlaku kematian atau ilat kekal menyeluruh kepada mereka. Selain itu, pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, Geran Sepadan sehingga RM10,000.00 bagi satu keluarga yang layak, dividen yang kompetitif, patuh syariah dan simpanan dijamin Kerajaan.
Produk Simpan SSPN Plus pula menawarkan enam pakej simpanan yang terdiri daripada simpanan dan perlindungan takaful yang komprehensif dengan komitmen bulanan serendah RM30 sebulan dengan keistimewaan tambahan adalah manfaat perlindungan takaful sehingga RM1.2 juta, manfaat khairat kematian kepada pendeposit, pasangan dan anak-anak maksimum lima (5) orang anak, manfaat takaful penyakit kritikal, elaun kemasukan hospital, perlindungan takaful sehingga umur pendeposit 69 tahun dan manfaat ini tertakluk kepada Syarikat Pengendali Takaful yang dipilih.
Maklumat lanjut berkenaan Simpan SSPN boleh diperoleh melalui portal rasmi http://www.ptptn.gov.my atau aplikasi myPTPTN untuk perkhidmatan yang lebih mudah, cepat dan selamat. – MalaysiaGazette