JOHOR BAHRU – Seorang juruteknik berputih mata selepas kerugian hampir RM1 juta selepas tertarik pelaburan dalam talian yang menjanjikan keuntungan tinggi dalam masa sejam.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang merupakan lelaki tempatan berusia 48 tahun mendakwa ditipu.
“Mangsa mendakwa ketika di tempat kerja di Iraq pada Ogos lalu, dia telah menerima mesej melalui aplikasi Whatsapp daripada individu yang menawarkan pelaburan tersebut.
“Tertarik dengan keuntungan yang dijanjikan, mangsa memuat turun aplikasi yang diarahkan dan membuat pendaftaran di aplikasi itu,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, mangsa turut mengikuti kelas secara dalam talian di pautan diberikan suspek yang menjelaskan berkaitan cara-cara urus niaga dan keuntungan yang akan diperoleh.
Seterusnya, ketika mangsa berada di Kota Tinggi, pada pertengahan September lalu hingga bulan ini, mangsa telah membuat pembayaran secara dalam talian.
Bayaran itu dibuat ke dalam beberapa akaun bank berbeza sebagaimana diarahkan sehingga berjumlah RM908,305.
Menurutnya, selepas bayaran dibuat, mangsa dapati aplikasi yang dimuat turun memaparkan pelaburannya telah mencatatkan keuntungan berjumlah RM8 juta.
Katanya, mangsa berhasrat untuk mengeluarkan wang keuntungan itu, namun mangsa telah diarahkan untuk membuat pembayaran sebanyak RM100,000 sebagai wang deposit.
“Mangsa tidak membuat bayaran tambahan yang diminta dan percaya dirinya telah ditipu,” katanya.
Kumar berkata, kes disiasat di bawah kesalahan tipu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Pada masa sama, beliau menyeru dan menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran pelaburan dalam media sosial dan secara dalam talian yang menjanjikan pulangan tinggi dengan mudah dan masa singkat.- Malaysiagazette