KUALA LUMPUR – Beberapa sungai utama di Negeri Sembilan dan Johor diramalkan naik dan melepasi paras bahaya bermula sekitar jam 3 petang hingga 9 malam ini.

Susulan itu beberapa kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer bedekatan sungai akan mengalami banjir, kata Pusat Ramalan dan Amran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia.

“Sebanyak empat sungai di daerah Tampin, Negeri Sembilan terlibat antaranya sekitar Sungai Gemas di Kampung Tiong, Sungai Muar di Kampung Londah, Sungai Gemenceh di Jalan Gemas-Rompin dan Sungai Pador di Felda Jelai.

“Bagi di Johor pula, sebanyak lima sungai terkesan melibatkan daerah Johor Bahru iaitu di Sungai Tebrau, Taman Sri Pandan, daerah Kota Tinggi melibatkan Sungai Johor dan Sungai Pungai.

“Manakala di daerah Muar membabitkan Sungai Muar, Kampung Olak Sepam dan di daerah Pontian adalah Sungai Pulai di Kampung Ulu Pulai,” katanya dalam kenyatan hari ini.

Tambahnya, amaran itu dikeluarkan bagi membolehkan penduduk di kawasan terlibat untuk berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi pengurusan bencana banjir.

Monsun Timur Laut (MTL) dijangka mencapai kemuncaknya pada penghujung bulan ini menyaksikan taburan yang tinggi di sempadan Malaysia-Thailand selain negeri di pantai timur serta Sabah dan Sarawak.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, dalam tempoh itu, negeri-negeri berkenaan dijangka menerima taburan hujan antara 20 hingga 40 peratus lebih tinggi berbanding kadar biasa.

Katanya, bagi negeri di Semenanjung, tempohnya bermula penghujung November sehingga awal Januari depan manakala di Sabah dan Sarawak dijangka sehingga Februari atau Mac. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast