KUALA LUMPUR – Syarikat tempatan, Ananas Premium menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai AS$1.5 juta di pameran antarabangsa Salon International de l’Alimentation (SIAL-InterFOOD) Indonesia 2024, baru-baru ini.
Perjanjian itu dimeterai bersama dua syarikat berpangkalan di Indonesia untuk pengeksportan jus nanas dan nanas premium jenis MD2 ke pasaran tempatan dan serantau, menurut Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).
Penyertaan di SIAL-InterFOOD Indonesia 2024 bukan sahaja menonjolkan kualiti produk nanas Malaysia, tetapi turut memperkenalkan teknologi terkini dan inovasi dalam pemprosesan nanas kepada pengunjung antarabangsa.
Kejayaan ini adalah kesinambungan momentum daripada kejayaan sebelumnya di SIAL Perancis, sekaligus menonjolkan nanas Malaysia di persada dunia.
Pengerusi LPNM, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, kejayaan ini membuka lembaran baharu buat industri nanas Malaysia, khususnya dalam
meningkatkan eksport produk-produk berasaskan nanas.
Ia juga menjadi bukti kepada hubungan perdagangan yang semakin kukuh antara Malaysia dan Indonesia.
Malaysia kekal komited dalam memperluas pasaran nanas premium seperti MD2 serta pelbagai produk hiliran nanas ke peringkat antarabangsa.
Kejayaan ini sejajar dengan slogan “Nanas Power! Sekali Tanam, 3 Kali Tuai” yang mencerminkan keberkesanan teknologi dan produktiviti sektor pertanian Malaysia, kata LPNM.
Reruai LPNM pada pameran itu mendapat perhatian dan kunjungan daripada pengunjung pelbagai negara. – MalaysiaGazette