Muhammad Ikmal Danish (dua kanan) bersama empat adik beradiknya di rumahnya di Falt Taman Cendana, Pasir Gudang

PASIR GUDANG – Pasangan suami isteri yang maut dirempuh kereta dipandu lelaki mabuk semalam, sempat berpesan kepada satu-satu anak lelaki mereka tiga hari sebelum kejadian supaya menjaga adik-beradiknya yang lain.

Muhammad Ikmal Danish Abdullah, 15, yang merupakan anak kedua pasangan tersebut tidak menyangka pesanan itu merupakan satu petanda ibu bapa mereka meninggalkan keluarga untuk selama-lamanya.

“Ayah dan mak bagi amanah kepada saya jangan berpisah dengan adik-beradik walau jadi apa-apa pun jangan pisah. Jaga adik-adik,” katanya ditemui di rumahnya di Flat Taman Cendana di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 4 pagi itu, pasangan terbabit, Mohd Ridzwan Mohd Rudi, 37, dan Linda Mohd A Aziz, 35, yang menaiki motosikal dirempuh sebuah kereta dipandu lelaki mabuk di simpang empat lampu isyarat di Jalan Besar/Jalan Mesjid di sini.

Kedua-duanya meninggal dunia akibat cedera parah dan jenazah pasangan itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Cahaya Masai di sini petang semalam.

Pasangan itu meninggalkan lima anak iaitu Nur Aleesha Aindah Abdullah, 17, (orang kurang upaya); Muhammad Ikmal; Nur Shahkira Mohd Redzwan, 14; Nur Shahmira Mohd Redzwan, 12, dan Nur Aisyah Humairah Mohd Redzwan, 3.

Muhammad Ikmal berkata, selain itu ada jirannya melihat ibunya sebelum kejadian berpakaian serba putih dan muka berseri-seri ketika menghantar makanan ke rumahnya.

“Ibu bekerja sebagai pembantu kedai makan, selalu majikan beri makanan untuk sedekahkan kepada jiran-jiran kami dan ibu sampaikan.

“Jiran ada beritahu saya hari akhir ibu hantar makanan, ibu pakai tudung, baju dan seluar semua serba putih,” katanya.

Bercerita lanjut, dia mendapat tahu tragedi yang menimpa ibu bapanya pada pukul 3 pagi selepas seorang rakannya datang ke rumah memaklumkan.

“Biasanya saya tidak terjaga malam tetapi pada hari kejadian jam 3 pagi saya terjaga, saya mencari ayah dan mak tiada. Ayah biasa pergi kerja sebagai pemandu lori pada waktu itu.

“Pada hari itu ayah menghantar ibu untuk bekerja di kedai makan di Johor Bahru. Saya tidak dapat tidur semula sebelum ada rakan yang ketuk pintu memaklumkan ayah kemalangan,” katanya.

Susulan itu, nenek dan adiknya pergi ke lokasi kejadian sebelum memaklumkan kepadanya bapanya sudah meninggal dunia.

“Saya tidak percaya dan meminta tolong rakan untuk ke lokasi. Dalam perjalanan saya hanya harapkan salah seorang sama ada ayah atau mak masih bernyawa untuk kami. Tetapi apabila tiba dua-dua sudah tiada (meninggal dunia).

“Adik yang bongsu tahu ayah dan mak sudah tiada. Saya beritahu mak sudah meninggal dunia, adik tanya ayah mana? Saya cakap ayah pun sudah meninggal dunia.

“Malam tadi saya tanya adik, nak tengok gambar mak dan ayah tak? Adik cakap nak tengok, saya tunjukkan dalam telefon dan adik menangis sedih,” katanya.

Ujarnya, selepas ini mereka lima beradik akan dijaga datuk dan nenek sebelah bapa mereka, Ramlah Kasiran, 56, dan Mohd Rudi Abdul Rahman, 61.- MalaysiaGazette

Suami isteri maut dirempuh pemandu mabuk di lampu isyarat

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here