Sebahagian motosikal yang disita JPJ Kuala Lumpur kerana pelbagai kesalahan. foto JPJ

KUALA LUMPUR – Sebanyak 73 motosikal disita akibat pengubahsuaian ekstrem, tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, dan tiada perlindungan insurans, yang melanggar Akta Pengangkutan Jalan 1987 dalam tiga operasi bersepadu di beberapa lokasi di ibu negara pada 15 dan 16 November 2024.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur berkata, operasi ini dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan memfokuskan kepada pengubahsuaian ekstrem pada motosikal yang boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.

Menurutnya, dalam operasi di Plaza Tol Sentul Pasar dan Plaza Tol Pantai Dalam yang bermula jam 3 petang hingga tengah malam pada 15 November lalu sebanyak 4,545 kenderaan diperiksa, dengan 1,353 notis kesalahan dikeluarkan.

Antara kesalahan yang dikesan ialah pengubahsuaian ekstrem pada motosikal, termasuk pengubahsuaian chasis, struktur motosikal sehingga menjejaskan kestabilan dan keselamatan.

Pemeriksaan motosikal dilakukan dalam operasi bersepadu di beberapa lokasi di ibu negara.

Selain itu, ekzos tidak mengikut spesifikasi hingga menghasilkan bunyi terlalu kuat melebihi had dibenarkan, nombor plat yang tidak mematuhi piawaian, termasuk saiz dan reka bentuk yang sukar dibaca dan penggunaan tayar tidak mengikut spesifikasi iaitu tayar kecil atau haus yang berisiko menyebabkan kemalangan.

Sepanjang operasi itu, JIM telah mengambil tindakan ke atas 19 pendatang asing tanpa izin dari pelbagai negara, termasuk Indonesia (9), Bangladesh (3), dan India (4).

Sementara itu, AADK melaporkan 16 individu positif dadah, termasuk 13 kes methamphetamine dan tiga kes ganja, hasil saringan terhadap 141 individu.

JSPT pula mengeluarkan 134 notis kesalahan lalu lintas kepada pengguna jalan raya yang melanggar pelbagai peraturan.

Pada 16 November pula, operasi diteruskan di Plaza Tol Gombak bermula jam 6 pagi dengan sebanyak 42 kenderaan diperiksa dan 104 notis kesalahan dikeluarkan, termasuk 102 kesalahan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here