Gambar hiasan. Foto MALAYSIAGAZETTE.

BATU PAHAT – Seorang remaja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas 63 pertuduhan amang seksual bukan fizikal termasuk memiliki video pornografi kanak-kanak.

Tertuduh merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sebuah sekolah di Sri Gading di sini membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-62, remaja berusia 17 tahun itu didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap tujuh pelajar junior lelaki dengan meminta mangsa menunjukkan tubuh kepada tertuduh.

Perbuatan berkenaan didakwa dilakukan di beberapa lokasi antaranya tandas surau dan sekolah serta rumah mangsa di Batu Pahat, Kluang dan Tangkak.

Semua kejadian didakwa berlaku antara pukul 10 pagi hingga 11 malam bermula Disember 2023 hingga hujung bulan lalu membabitkan mangsa lelaki berusia 13 hingga 17 tahun.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (a) (ii) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSKK) 2017 yang memperuntuk hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.

Bagi pertuduhan ke-63, dia didakwa memiliki video pornografi kanak-kanak dalam komputer riba pada pukul 2.30 pagi, 11 November lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 10 AKKSTKK dan boleh dipenjara lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Razak Shariff.

Mahkamah menetapkan 11 Disember ini untuk sebutan semula dan serahan dokumen.

Tertuduh dibenar diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan tidak boleh mengganggu saksi atau mangsa sehingga kes selesai.

Berdasarkan laporan, tertuduh dikatakan meminta mangsa melakukan aksi tidak senonoh dan merakamnya.

Selepas itu, mangsa diminta menyerahkan rakaman terbabit kepada tertuduh.

Kejadian dikatakan berulang kali dan ada mangsa didakwa mengadukan hal terbabit kepada pihak pengurusan sekolah namun tiada tindakan diambil.

Mangsa dikatakan diugut supaya mengikut arahan tertuduh atau rakaman video mereka disebar.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here