KLANG – Ketua Whip Parlimen DAP, Nga Kor Ming hari ini mengumumkan untuk menyumbang sebulan gaji Ahli Parlimen miliknya kepada Pemuda Sosialis DAP (DAPSY).
Kor Ming berkata, ini kerana DAPSY merupakan sayap DAP yang paling miskin dan layak menerima “zakat”, sambil menyifatkannya sebagai ‘snaf fakir miskin.
“Sebagai mantan ketua pemuda DAP yang sentiasa sayang dan cintakan DAPSY, saya dengan penuh rasa ‘tawaduk’ dan rendah hati, ingin menyumbang satu bulan gaji Ahli Parlimen kepada DAPSY.
“Ini bagi miskin papa kedana, kita ikut sudah masuk asnaf fakir miskin, boleh layak untuk mendapat zakat
“Jadi memang antara parti paling miskin di Malaysia,” katanya ketika merasmikan Kongres DAP Kebangsaan 2024 di sini, hari ini.
Hadir sama bekas Ketua DAPSY, Kelvin Yii Lee Wuen dan bekas Timbalan Ketua DAPSY yang juga Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman.
Kor Ming yang juga Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan juga berkata, walaupun DAPSY miskin dari segi pemilihan harta benda, namun tidak sesekali miskin minda.
“Parti yang kaya tidak semestinya parti yang berjaya, parti yang miskin harta tapi jika kita ikhlas berkhidmat, komited untuk terus berjuang.
“DAPSY bakal menjadi harapan baharu Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette