KLANG – Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) mempunyai tanggungjawab besar untuk mendekati golongan anak muda khususnya mahasiswa dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA) termasuk Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Ketua Whip Parlimen DAP, Nga Kor Ming berkata, ia bertujuan mempelbagaikan keanggotaan di dalam DAPSY sekaligus sebagai parti pilihan utama anak muda pada masa depan.
“DAPSY mempunyai tanggungjawab untuk mendekati golongan muda khususnya di kampus sama ada UiTM, UM (Universiti Malaya), UPM (Universiti Putra Malaysia), UTM (Universiti Teknologi Malaysia), semua adalah medan kita dan DAPSY.
“Untuk membawa lebih ramai lagi, jadikan DAPSY parti keramat pimpinan muktamad generasi muda rakyat Malaysia yang berbilang kaum,” katanya berucap merasmikan Kongres DAPSY Kebangsaan 2024 di sini hari ini.
Kor Ming juga memberi jaminan Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP akan memberi sokongan sepenuhnya kepada DAPSY untuk menjadikan sayap parti menjadi pilihan utama anak muda.
“Saya mewakili CEC, kami berdiri teguh menjadi benteng pertahanan membantu DAPSY untuk menerajui dan mara ke depan, jadikan DAPSY pilihan utama generasi muda parti keramat ini, bukan parti dulu, bukan parti hari ini.
“Sebab itu semua pemimpin, saf pimpinan dan bukan sahaja wajar bahkan wajib mendekati, sentiasa ingat, hak kepentingan rakyat adalah dekat di hati kita.
“Kita nak jadikan DAP sebagai parti untuk masa depan rakyat Malaysia,” katanya.
Selain itu, Kor Ming yang juga Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan berkata, ramai bakat baharu dalam DAPSY yang berpotensi diketengahkan dan bakal mewarisi kepimpinan parti itu pada masa depan.
“Saya ingin membuat beberapa saranan bukan sebagai Ketua Parlimen Parti tetapi selaku mantan Ketua Pemuda DAP. Saya lihat DAPSY perlu memperhebatkan Sekolah Demokrasi, pendidikan politik adalah amat penting, bak kata pepatah Melayu, biar miskin harta, jangan miskin minda.
“Apabila pemimpin muda memilih politik toksik, memilih politik membinasa, bukan politik membina, ini bukti miskin minda, bukan miskin harta,” katanya.
Katanya lagi, sebagai pemimpin muda, mereka perlu rajin turun padang untuk mendekati akar umbi.
“Itu amat penting sekali dan sekiranya kita tidak menyelami perasaan, kita menjauhi diri daripada peringkat akar umbi maka pengundi-pengundi waktu pilihan raya nanti akan tanpa tolak ansur mengajar (DAP),” katanya.
Sementara itu, katanya, pembentukan Majlis Eksekutif Kebangsaan (MEK) DAPSY 2024-2027 yang menang tanpa bertanding dan disokong sepenuh 86 bahagian membuktinya sayap DAP itu mendokong semangat Malaysia Madani.
“Dulu lebih kurang 10 tahun, setiap tiga tahun ada sekali pemilihan DAPSY, lepas pilih saya tengok ada puak-puak, ada pula sedikit ketidakharmonian.
“Ada ketua yang kuat tapi ada barisan yang lemah, ada barisan yang kuat tapi ketua yang lemah, macam-macam ada masalah tapi hari ini kita lihat, semangat kebersamaan dan kebijaksanaan.
“Bila kita pastikan hari ini 86 bahagian DAPSY sebulat suara memilih satu pasukan berbilang kaum di mana Melayu, Cina dan India senada sehati sejiwa, inilah semangat Malaysia Madani,” katanya.
Katanya, kesepakatan dan kepelbagaian pimpinan di dalam DAPSY mampu mengangkat martabat negara lebih tinggi tanpa mewarisi budaya politik sempit dan berasaskan sentimen.
“Bila Melayu, Cina dan India bergabung, negara kita barulah angkat semula martabat. Inilah semangat baharu, landskap politik baharu, kita ambil yang jernih, buang yang keruh.
“Hanya parti yang ketandusan idea akan menunggang agama atau sentimen perkauman dan memainkan politik toksik membinasakan. DAPSY sepatutnya menjadi satu teladan yang bagus,” katanya lagi. – MalaysiaGazette