JOHOR BAHRU – Kerajaan digesa percepat pengubalan undang-undang khusus yang membolehkan kesalahan pemandu mabuk yang menyebabkan kemalangan maut dikenakan hukuman berat sebagai pengajaran.
Ketua Armada Bersatu Bahagian Mersing, SyahrulNizam Zainal berkata, langkah itu bertujuan untuk mengelak kejadian seperti itu berulang.
“Terbaharu sepasang suami isteri maut di Pasir Gudang akibat daripada kecuaian pemandu mabuk yang memandu hingga menyebabkan kematian.
“Negara kita juga pernah digemparkan malang menimpa seorang anggota polis dan orang yang tidak bersalah menjadi korban pemandu mabuk.
“Tidak sepatutnya mereka yang terlibat itu dilepaskan dengan mudah sedangkan ada mangsa mahupun keluarga yang kehilangan orang tersayang,” katanya dalam kenyataan.
Dalam kejadian pukul 4 pagi semalam, pasangan suami isteri, Mohd Ridzwan Mohd Rudi, 37, dan Linda Mohd A Aziz, 35, yang menaiki motosikal dirempuh sebuah kereta dipandu lelaki mabuk di simpang empat lampu isyarat di Jalan Besar/Jalan Mesjid, Pasir Gudang.
Kedua-duanya meninggal dunia akibat cedera parah dan meninggalkan lima anak termasuk seorang daripadanya orang kurang Upaya (OKU) berusia 17, 15, 14, 12, dan 3 tahun.
Mengulas lanjut, SyahrulNizam meminta pihak berkuasa mengambil tindakan keras terhadap si pelaku yang menyebabkan terkorbannya mangsa-mangsa kepada pemandu mabuk.
“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga yang terlibat, suka atau tidak kita perlu tegas dalam soal melibatkan nyawa mereka yang tidak berdosa.
“Kita telah kehilangan ramai orang yang tersayang akibat dari kecuaian pemandu mabuk, justeru marilah kita bersama-sama menggesa kerajaan supaya satu tindakan yang tegas diambil kepada golongan pemandu mabuk ini,” ujarnya.
Beliau turut menyeru rakyat supaya terus menyalur maklumat kepada pihak berkuasa dan tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh menggugat ketenteraman awam.- MalaysiaGazette