Ahmad bersama 52 pelajar yang berjaya menyambung pelajaran ke IPT di Pejabat UMNO Bahagian Pontian, Pontian, hari ini.

PONTIAN – Isu penubuhan Kerajaan Perpaduan di Johor wajar dihentikan kerana tidak mahu keharmonian antara Keharmonian Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) digugat.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, isu itu tidak perlu lagi dibangkitkan kerana kerajaan negeri tidak dibentuk seperti peringkat Persekutuan.

Justeru Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu mahu isu tersebut segera dinoktahkan.

“Ini bagi memberikan peluang kepada kerajaan negeri di bawah BN menjalankan amanah dan tanggungjawab mereka sehingga pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

“Kerajaan negeri juga telah mengiktiraf pembangkang sebagai pengimbang yang tiada dilakukan di negeri lain sebagai menghargai peranan sebagai wakil rakyat di tempat masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan kepada 52 pelajar yang berjaya menyambung pelajaran ke instutusi pengajian tinggi (IPT) di Pejabat UMNO Bahagian Pontian di sini hari ini.

Pada 4 November lalu, Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, partinya tidak menolak kemungkinan berlaku pertembungan antara PH dan BN pada pilihan raya akan datang berikutan Johor kini masih belum membentuk Kerajaan Perpaduan.

Amanah Johor juga dilaporkan menyasarkan untuk bertanding sekurang-kurangnya 20 daripada keseluruhan 56 kerusi DUN di Johor sama ada PH bertanding sendiri atau bekerjasama dengan BN.

Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, tumpuan ketika ini patut diberikan untuk mencapai agenda Johor Maju 2030 dan membantu rakyat.

“Masa masih panjang mungkin tiga tahun lagi sebelum pilihan raya umum (PRU) atau PRN.

“Penentuan kerusi yang akan ditandingi akan diputuskan oleh Majlis Perundingan Kerajaan Perpaduan,” ujar Ketua UMNO Bahagian Pontian itu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here