JOHOR BAHRU – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menegaskan bola sepak Malaysia tidak gagal selepas pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya membuktikan kejayaan mereka di pentas Asia.

Baginda yang juga pemilik JDT bertitah, bola sepak negara ini berada atas landasan tepat beberapa tahun kebelakangan ini apabila JDT antara pasukan yang paling banyak menyumbang buat negara.

Tunku Mahkota Ismail mempersoalkan sesetengah pihak yang masih menganggap bola sepak di negara gagal tanpa melihat pencapaian Harimau Selatan.

“Kadangkala ia sukar untuk difahami kenapa sesetengah pihak menganggap bola sepak Malaysia sebagai gagal sedangkan Kelab Bola Sepak JDT telah berkembang menjadi pasukan nombor satu di Asia Tenggara dan keenam di Asia berdasarkan Opta Power Rankings.

“Malaysia juga telah layak ke Piala Asia untuk pertama kali sejak 40 tahun,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook Johor Southern Tigers hari ini.

Mengulas lanjut, baginda bertitah, prestasi JDT di Asia telah menyumbang 21.54 (68.7 peratus) daripada 31.33 mata ranking MA Malaysia sejak 2015.

Pencapaian itu membenarkan lebih banyak kelab Malaysia menyertai pertandingan Asia.

“JDT juga muncul satu-satunya kelab Asia Tenggara yang memenangi Piala AFC (2015). JDT juga antara kelab yang mempunyai fasiliti terbaik termasuk perubatan di Asia yang menepati kehendak bola sepak moden.

“Ini antara pencapaian hebat yang tak pernah dicapai oleh mana-mana pasukan dalam Malaysia atau dalam industri bola sepak tempatan,” titah baginda lagi.

Tunku Mahkota Ismail turut mempersoalkan tindakan peminat bola sepak menuding jari kepada JDT apabila pasukan lain tidak mampu bersaing dengan standard juara sedekad Liga Super itu.

Menurutnya, individu-individu dalam bola sepak Malaysia yang tidak kompetitif menjadikan liga semakin kurang menarik.

“Jadi bagaimana bola sepak Malaysia dikira gagal apabila ada satu pasukan mampu berjaya di Asia? Disebabkan gaji yang tertunggak, kekurangan infrastruktur bola sepak, kekurangan pembangunan akar umbi di peringkat kelab atau pengurusan yang tidak baik?

“Ini semua disebabkan adanya ramai individu yang tidak berkelayakan berada dalam industri sukan.

“Bola sepak tidak gagal, ia adalah individu-individu dalam pasukan-pasukan yang gagal mengurus dan meningkatkan ‘standard’ serta mereka yang sentiasa menyokong dan bukannya memberikan tekanan terhadap kegagalan itu.

“Sebelum kita menuding jari dan mencari kesalahan pada sistem atau JDT meskipun Harimau Selatan berjaya di Asia termasuk penganugerahan AFC Two-Star Academy ia adalah lebih wajar jika kita melihat apa yang berlaku dari dalam dan mendesak perubahan, bermula dengan pasukan masing-masing.

“Sebuah liga dengan pasukan-pasukan yang diuruskan dengan baik serta mempunyai fasiliti moden dan pembangunan program-program akar umbi yang kuat di peringkat kelab akan meningkatkan lagi standardnya,” titah baginda.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here