PASIR GUDANG – “Apabila tiba di lokasi kemalangan, saya nampak lori polis, kaki saya terus lemah dan rebah. Saya ternampak-nampak Abang Wan (panggilan kepada anaknya) di situ.
“Saya panggil namanya berulang kali, sehingga ada seorang anak muda tenangkan saya beritahu anak saya sudah meninggal dunia dilanggar pemandu mabuk. Saya terduduk dan meraung-raung.
“Saya dimaklumkan muka anak saya pecah, menantu pula tercampak selepas dilanggar dan leher patah,” ujar Ramlah Kasiran, 56, ibu kepada Mohd Ridzwan Mohd Rudi, 37, yang maut dilanggar kereta dipandu lelaki mabuk awal pagi semalam.
Dalam kejadian pukul 4 pagi itu, pasangan terbabit, Mohd Ridzwan, dan isterinya, Linda Mohd A Aziz, 35, yang menaiki motosikal dirempuh sebuah kereta dipandu lelaki mabuk di simpang empat lampu isyarat di Jalan Besar/Jalan Mesjid di sini.
Kedua-duanya meninggal dunia akibat cedera parah dan jenazah pasangan itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Cahaya Masai di sini petang semalam.
Pasangan itu meninggalkan lima anak iaitu Nur Aleesha Aindah Abdullah, 17, (orang kurang upaya); Muhammad Ikmal Danish Abdullah, 15; Nur Shahkira Mohd Redzwan, 14; Nur Shahmira Mohd Redzwan, 12, dan Nur Aisyah Humairah Mohd Redzwan, 3.
Ramlah ketika ditemui di rumahnya di Flat Taman Cendana di sini hari ini mengetahui kejadian tersebut pada pukul 4 pagi selepas Muhammad Ikmal Danish datang ke rumah memaklumkannya.
“Ikmal meminta saya pergi melihat kemalangan itu yang katanya berdekatan jalan ke tasik di Bukit Layang Layang, saya ajak suami dan hanya beranggapan mungkin anak saya hanya cedera,” katanya.
Menurut Ramlah, dia terkejut apabila tiba di lokasi mengetahui Mohd Ridzwan iaitu anak kedua daripada tujuh beradik yang mesra dipanggil Abang Wan dan isterinya sudah meninggal dunia.
“Saya ingat anak saya seorang kemalangan, saya tidak tahu isterinya juga terbabit. Saya tak sanggup lihat jenazah anak dan menantu ketika kemalangan sangat menyayat hati.
“Kebetulan anak sulong juga keluar awal pagi untuk bekerja dan memberitahu ada melihat kemalangan tetapi tidak menyangka kemalangan itu membabitkan adiknya,” ujarnya.
Katanya, kebiasaannya arwah yang bekerja sebagai pemandu lori pergi kerja pukul 4 pagi dan akan keluar awal sejam untuk perjalanan ke Johor Bahru.
Ramlah berkata, keluarganya berharap keadilan untuk anak dan menantunya yang tidak bersalah.
“Saya harapkan sangat keadilan buat arwah anak dan menantu, hukuman setimpal buat pelaku. Saya kehilangan anak dan cucu saya jadi yatim piatu.
“Saya dimaklumkan saksi kejadian, anak dan menantu saya tidak bersaah. Kereta lelaki mabuk itu dipandu dengan laju dan melanggar anak dan menantu saya sehingga tercampak,” katanya.
Selepas ini katanya, dia dan suami, Mohd Rudi Abdul Rahman, 61 yang bekerja sebagai pemandu Forklift akan mengambil tanggungjawab menjaga semua cucunya itu.- MalaysiaGazette