TASEK GELUGOR – Seorang lelaki warga asing bertindak agresif dengan mengorek keluar bebola mata kiri lelaki tempatan dalam satu pergaduhan di tepi jalan berhampiran sebuah flat di Jalan Ara Kuda di sini, semalam.
Kejadian kira-kira jam 2 petang itu berlaku selepas mangsa berusia 52 tahun itu dipercayai dalam keadaan mabuk didakwa mengganggu suspek berumur 28 tahun.
MalaysiaGazette difahamkan, suspek bertindak mengorek keluar bebola mata kiri mangsa menggunakan tangannya.
Selain itu, mata kanan mangsa juga dilaporkan dicederakan dalam kejadian tersebut.
Mangsa kini berada dalam keadaan kritikal dan sedang menerima rawatan di Hopsital Kepala Batas di sini, manakala suspek berjaya ditahan polis di lokasi kejadian.
Difahamkan, bebola mata kiri mata dijumpai petugas Kementerian Kesihatan (KKM) tidak jauh daripada mangsa ketika mereka hadir untuk membawanya ke hospital bagi rawatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan kejadian tersebut.
“Suspek telah diberkas dan siasatan dibuka mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah,” katanya. – MalaysiaGazette