SEGAMAT – Remaja yang hilang dibawa arus ketika mandi bersama-sama 19 rakannya di Sungai Jeram Badoh, Buloh Kasap di sini kelmarin ditemui hari ini.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superitendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, mangsa, Muhammad Idham Abd Kadir yang berusia 14 tahun ditemukan pada pukul 12.05 tengah hari.
“Mayat remaja berkenaan ditemukan tersangkut pada akar-akar pokok reba di dalam sungai Jeram Badoh dengan jarak 450 meter dari tempat mangsa dihanyutkan arus.
“Pemeriksaan polis mendapati mayat masih berseluar tracksuit hitam tanpa baji sebagaimana keterangan rakan mangsa yang sama-sama ke lokasi kelmarin,” katanya dalam kenyataan.
Dalam kejadian pada pukul 4.20 petang kelmarin, mangsa bersama-sama rakannya mandi di sungai tersebut sebelum hanyut ke tengah sungai akibat arus deras dan hilang.
Ahmad Zamry berkata, mayat dibawa ke Hospital Daerah Segamat untuk tujuan bedah siasat dan proses pengecaman mangsa sebelum diserahkan kepada keluarga.
Susulan itu, ujarnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang masuk hari ketiga hari ini ditamatkan pada pukul 2 petang.
“Polis Segamat mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pasukan penyelamat terlibat dan penduduk setempat atas kerjasama sepanjang operasi SAR,” katanya.
Beliau juga menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada dengan keadaan cuaca semasa dan mengurangkan aktiviti di sungai.
“Kesediaan dan kesedaran ibu baoa terhadap cuaca yang tidak menentu juga penting dalam memantau pergerakan anak masing-masing,” tambahnya.- MalaysiaGazette