Mohamed Khaled (tengah) menerima cenderahati dalam Majlis Penyerahan Zakat Wakalah BHP Petrol di Masjid Muhajirin, Taman Rinting, Masai, Pasir Gudang, hari ini.

PASIR GUDANG – Kementerian Pertahanan (Mimdef) sedia meneliti keperluan membeli helikopter baharu sekiranya Tentera Darat Malaysia (TDM) gagal menyewa helikopter yang diperlukan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebelum itu TDM perlu membuat tawaran kepada mana-mana syarikat pembekal helikopter terlebih dahulu.

Katanya, TDM kini dalam proses mendapatkan sewaan helikopter tersedia untuk digunakan.

Jelas beliau, perolehan mendapatkan aset termasuk untuk pajakan sewaan helikopter perlu dilakukan teliti mengikut spesifikasi diperlukan TDM.

“Jadi saya percaya proses tersebut mereka sedang usahakan, kadang-kadang helikopter kita (kehendaki) tiada dalam pasaran.

“Perlu diingat Black Hawk sebelum ini disewa lima tahun bukan beli, mungkin jika itu tidak dapat diteruskan, mungkin kita kena fikir dan ini akan mengambil masa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar dalam Majlis Penyerahan Zakat Wakalah BHP Petrol di Masjid Muhajirin, Taman Rinting, Masai di sini hari ini.

Pada 6 November lalu, Kementerian Pertahanan (Mindef) dilaporkan sudah menyerahkan notis pembatalan kontrak kepada syarikat pembekal empat helikopter terbabit untuk kegunaan TDM.

Mohamed Khaled berkata, langkah itu susulan pelanjutan kontrak oleh syarikat itu pada Oktober lalu selepas gagal mematuhi kontrak penyerahannya.

Sebelum ini, Mohamed Khaled dilaporkan berkata, kementerian memberi tempoh kepada syarikat pembekal sehingga Oktober untuk memenuhi penghantaran empat Black Hawk.

Pada Ogos lalu, Mindef sudah mendapat maklum balas daripada Pejabat Peguam Negara berkaitan cadangan pembatalan kontrak sewaan Black Hawk untuk TDM.

Kementerian itu sebelum ini dilaporkan akan menilai secara menyeluruh perjanjian pajakan empat helikopter Black Hawk sebelum membuat keputusan sama ada membatalkan kontrak atau memberikan masa tambahan kepada pembekal.

Pada Mei tahun lalu, mereka menandatangani kontrak menyewa empat helikopter dengan syarikat tempatan, Aerotree Defence and Services Sdn Bhd selama lima tahun bernilai RM187 juta.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here