KUALA LUMPUR – Dua premis hiburan yang beroperasi tanpa lesen diarah tutup serta-merta oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu operasi bersepadu di sekitar ibu kota baru-baru ini.
DBKL dalam kenyataan berkata, premis terbabit dikenakan tindakan di bawah Akta Hiburan (WPKL) 1992 atas kesalahan mengadakan aktiviti hiburan tanpa lesen.
Hasil risikan dan siasatan mendapati sebanyak lima premis perniagaan telah dikenal pasti dan diambil tindakan penguatkuasaan.
“DBKL juga mengeluarkan lima notis pemberitahuan tentang kesalahan, satu notis tawaran kompaun serta lima tindakan sita dikenakan terhadap semua premis tersebut atas pelbagai kesalahan.
“Selain itu, 48 individu telah menjalani ujian saringan air kencing dan mendapati tiga individu positif dadah di bawah Akta Penagih Dadah 1983,” katanya dalam kenyataan yang sama.
Bagaimanapun ketiga-tiga individu itu telah dibawa ke Ibu Pejabat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan lanjut.
DBKL juga memaklumkan, seramai 59 individu diberi Surat Perintah Hadir Memberi Keterangan di bawah Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 oleh pihak JAWI.
Tindakan ini dilakukan bersama Jabatan Penguatkuasaan bersama Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar serta Pejabat Cawangan Titiwangsa.
Ia turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan AADK.
Tegas DBKL, pihaknya akan meneruskan tindakan dan pemantauan semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang telah dikenal pasti dan sebarang aduan, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat di pautan https://adukl.dbkl.gov.my. – MalaysiaGazette