KOTA TINGGI – Sebuah pacuan empat roda dan sebuah kereta terbabas masuk dalam sebuah kedai kain di Jalan Niaga Utama/Jalan Yusof di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Yusof Othman berkata, kejadian pada pukul 7.55 petang itu melibatkan pacuan emat roda jenis Nissan Navara dan kereta Honda Civic.
“Kejadian dipercayai berlaku apabila pacuan empat roda tersebut terlanggar sisi kereta tersebut dan menyebabkannya terus hilang kawalan dan terlajak masuk kedai.
“Dalam kemalangan tersebut pemandu pacuan empat roda yang dipandu lelaki tempatan berusia 55 tahun dan kereta tersebut dipandu wanita tempatan berusia 40 tahun terselamat.
“Pelanggan dan peniaga kedai tersebut juga tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam tadi.
Difahamkan kereta pacuan empat roda tersebut turut melanggar bahagian luar kedai tersebut.
Yusof berkata, kes tersebut masih dalam siasatan bawah Kaedah-kaedah Lalu Lintas 3(2)(b) LN 166/59 iaitu cuai semasa keluar masuk simpang dan menyebabkan kemalangan jalan raya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dan mematuhi undang-undang serta peraturan bagi keselamatan bersama.- MalaysiaGazette