SIMPANG RENGGAM – Seorang pemandu treler 40 tan tersepit selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya Kilometer 49.9 Lebuhraya PLUS arah selatan, berdekatan Simpang Renggam, Johor, awal pagi tadi.
Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Maznan Mohamad, yang bertindak sebagai Komander Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam menerima panggilan kecemasan pada jam 3.44 pagi dan tiba di lokasi kejadian pada jam 4.02 pagi.
“Setibanya di lokasi, kami mendapati sebuah lori treler jenama MAN yang membawa muatan batang besi terlibat dalam kemalangan dan pemandunya tersepit di bahagian tempat duduk akibat impak pelanggaran,” kata Maznan.
Anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Operasi menyelamat berlangsung hampir satu jam, dan mangsa berjaya dikeluarkan dengan selamat sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tindakan lanjut.
Katanya, operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.19 pagi setelah pasukan bomba memastikan keadaan di lokasi selamat daripada sebarang risiko bahaya. – MalaysiaGazette