SEBERANG PERAI – Penduduk sekitar kawasan Juru di sini mahu Kerajaan Negeri Pulau Pinang membatalkan perancangan pembinaan asrama pekerja warga asing berkapasiti lebih 20,000 orang di berhampiran Taman Cendana di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bantahan Pembinaan Asrama Warga Asing di Juru, Wahid Othman berkata, pihaknya melakukan bantahan awal bagi mengelakkan kebenaran merancang diberikan kepada pemaju seperti mana berlaku kepada penduduk Jalan Kebun Baru.
“Kita hanya sedar mengenai wujud cadangan pembinaan 32 tingkat asrama warga asing membabitkan tiga blok selepas sebuah syarikat firma perunding membuat penilaian impak sosial (SIA).
“Bagaimanapun, keputusan yang dikemukakan iaitu 59 peratus atau 350 responden setuju dengan pembinaan asrama tersebut adalah meragukan dan kita percaya ia tidak melibatkan persetujuan daripada penduduk berhampiran.
“Selain itu, lokasi yang dicadangkan itu juga kurang 100 meter daripada Sekolah Kebangsaan Juru dan semestinya ia akan memberi impak besar kepada murid-murid bermula daripada pembinaan hingga penempatan warga asing dilakukan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, lebih 200 penduduk sekitar kawasan Juru mengadakan demonstrasi aman bagi membantah projek pembinaan asrama pekerja warga asing itu susulan bimbang ia bakal menimbulkan banyak masalah termasuk kesesakan lalu lintas, budaya serta kepadatan penduduk.
Tambah Wahid, pihaknya telah menghantar memorandum bantahan kepada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) pada 31 Oktober lalu namun tiada respons setakat ini.
“Kita mohon pertimbangan kerajaan negeri agar membatalkan cadangan pembinaan asrama warga asing dan gantikan dengan pembinaan rumah kos rendah sekali gus membuktikan mereka mengutamakan kebajikan rakyat tempatan,” katanya.
Sementara itu, penduduk, Mohd Firdaus Sonsudin,47, berkata, pembinaan asrama warga asing lebih sesuai di bina di kawasan perindustrian berbanding penempatan penduduk tempatan bagi mengelak masalah sosial serta jenayah.
“Kita juga bimbang akan berlaku peningkatan jenayah sesama mereka ditambah faktor bilangan penghuni yang ramai serta padat dalam kalangan manusia terkurung adalah suatu perkara yang sukar dibendung.
“Penduduk sendiri hadapi kesukaran dapatkan beras dan minyak tempatan kalau ditambah dengan kehadiran mereka ini semestinya penduduk terpaksa bersaing,” katanya yang menetap di Kampung Sekolah sejak lahir.
Bagi, Khor TC, 53, pula, kerajaan negeri sepatutnya memberi keutamaan pembinaan yang memberi faedah kepada penduduk tempatan.
“Kita bukan halang pembangunan tetapi kita tidak mahu warga asing mendominasi kawasan penduduk.
“Kita bimbang kehadiran mereka akan memberi pelbagai impak dari segi kebersihan, penularan penyakit, kesesakan serta kes-kes jenayah yang sering dilaporkan membabitkan warga asing,” katanya. – MalaysiaGazette