PASIR GUDANG – Sepasang suami isteri maut selepas motosikal dinaiki dirempuh sebuah kereta dipandu lelaki mabuk di simpang empat lampu isyarat di Jalan Besar/Jalan Mesjid di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian pada pukul 4 pagi itu melibatkan motosikal jenis Honda Vario dinaiki pasangan itu dengan kereta Perodua Alza.
“Kemalangan dipercayai berlaku semasa kereta berkenaan datang dari arah Jalan Besar menghala ke Lebuhraya Pasir Gudang.
“Sampai di lokasi kejadian iaitu simpang empat berlampu isyarat, pemandu kereta itu meneruskan perjalanan dalam keadaan lampu isyarat merah menghala ke Lebuhraya Pasir Gudang.
“Pada masa sama motosikal pasangan terbabit meneruskan perjalanan menghala ke bandar raya ini sebelum berlaku pelanggaran,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, akibat pelanggaran tersebut, penunggang iaitu lelaki tempatan berusia 37 tahun dan pembonceng iaitu wanita berusia 36 tahun cedera parah serta meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurut beliau, pemandu kereta berkenaan iaitu lelaki berusia 34 tahun ditahan kerana dipercayai memandu bawah pengaruh alkohol melebihi paras ditetapkan.
“Ujian air kencing juga dilakukan dan mendapati pemandu terbabit bebas daripada sebarang jenis dadah. Siasatan masih lagi diteruskan,” katanya.
Jelasnya, siasatan dilakukan bawah Sekysen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu bawah pengaruh minumam yang memabukkan dan menyebabkan kematian.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang.
“Memandu bawah pengaruh alkohol bukan sahaja merupakan satu kesalahan serius tetapi juga membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain,” katanya.
Tambahnya, sebarang maklumat daripada saksi kejadian boleh disalurkan menerusi talian 07-3864222 bagi membantu siasatan.- MalaysiaGazette