KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) telah menganjurkan Pertandingan Tarian Aerobik Peringkat Kebangsaan di pusat beli-belah Datum Jelatek hari ini.
Ketua Setiausaha kementerian itu, Dr. Nagulendran Kangayatkarasu berkata, tujuan program dianjurkan untuk membudayakan sukan terutama dalam kalangan wanita.
“Elemen-elemen berkaitan aerobik ini semestinya boleh menarik perhatian wanita dan ia secara tidak langsung menggalakkan lagi gaya hidup yang aktif.
“Kami lihat sambutan di sini amat memberangsangkan di mana kami dapat tarik lebih ramai orang secara organik jika nak dibandingkan dilakukan di stadium atau mana-mana pusat sukan.
“Hal ini kerana jika di pusat sukan, mereka yang datang hanyalah peminat sesuatu itu berbanding jika dilakukan di tempat seperti ini, lebih ramai orang awam akan melihat,” katanya selepas majlis penutup pertandingan itu hari ini.
Nagulendran menambah, pihaknya mengalu-alukan pusat beli-belah yang ingin bekerjasama dengan KBS untuk sebarang penganjuran aktiviti sukan.
“Kami berharap penganjuran seperti ini akan membuka mata lebih ramai orang lain tentang menariknya bersukan.
“Susulan itu, jika program ini diadakan di tempat awam seperti ini secara tidak langsung dapat memashyurkan industri sukan dalam masyarakat kita,” tambahnya. – MalaysiaGazette