11 individu warga Indonesia mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kajang hari ini atas pertuduhan memilik barang kawalan berjadual iaitu minyak masak paket sebanyak 4000 kilogram (kg) pada bulan ini.

KAJANG – Seramai 11 individu warga Indonesia mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kajang hari ini atas pertuduhan memilik barang kawalan berjadual iaitu minyak masak paket sebanyak 4,000 kilogram (kg) pada bulan ini.

Kesemua tertuduh Taufiq, 31; Muhammad Saifun Nur, 25; Mahdi Ismail, 48; Atriman Nurdin, 33; Muhammad Nazari,48; Muhammad Saidi, 42; Munawar 25; Ricky,54; Ikramullah 23; Muhammad Yani, 20; dan Adrian,29 membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mazualina Abdul Rashid.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa telah ada dalam kawalan barang berjadual iaitu minyak masak sebanyak 4,000 kg.

Ia didapati berada dalam keadaan menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan 1974 iaitu berurusan dengan minyak masak secara borong tanpa lesen.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah premis tanpa nama di Jalan Kajang Jaya 1, Taman Kajang Jaya, Jalan Bukit Kajang, dalam daerah Kajang pada 12 November lalu sekitar jam 8.35 malam.

Pendakwaan boleh dikenakan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, bagi kesalahan kedua atau seterusnya, didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

11 warga Indonesia didapati bersalah akan di bawa ke Penjara Satelit Kuala Langat.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Raya, Muhammad Saiful Saaidin mencadangkan tiada jaminan ditawarkan kepada mereka dan memohon satu tarikh untuk serahan laporan kimia.

“Untuk kes ini, kesemua tertuduh tidak ditawarkan sebarang jaminan kerana tidak mempunyai alamat yang tetap serta bukan warganegara Malaysia.

“Pada masa sama, pihak pendakwaan juga memohon kesemua tertuduh ini dietmpatkan Penjara Satelit Kuala Langat,” jelas Saiful.

Bagaimananpun, kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam itu hanya mengangguk faham dan tidak memohon sebarang rayuan.

Hakim Mazualina kemudian menetapkan 17 Disember depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen laporan kimia, selain tiada jaminan ditawarkan kepada kesemua tertuduh.

Terdahulu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menumpaskan sindiket menyeleweng minyak masak peket bersubsidi dan dijual sebagai minyak masak terpakai pada harga lebih tinggi.

Menterinya, Datuk Armizan berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam sehingga membawa kepada tangkapan 15 orang termasuk empat lelaki tempatan dalam dua serbuan berasingan, di Selangor pada 12 November lalu.

Jelas beliau, minyak masak tersebut dibeli secara pukal dengan harga subsidi RM2.50 sepeket dan dijual kepada industri pada harga RM3.80 sekilogram.

Tambahnya, bungkusan minyak masak subsidi itu dipotong di sebuah rumah di Taman Kajang Jaya untuk dikumpulkan di dalam tong simpanan. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast