KUALA LUMPUR- Juara Sejati Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Berjaya Corporation (BCorp) melupuskan 32 juta saham mewakili kira-kira 4.14 peratus kepentingan dalam REDtone Digital Bhd. pada harga RM29.76 juta atau 93 sesaham.
Ia menjadikan BCorp dan anak syarikatnya kini memegang 36.65 peratus kepentingan ekuiti atau 283.28 juta saham dalam syarikat penyedia infrastruktur digital dan telekomunikasi itu.
BCorp dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, pelupusan itu dibuat melalui transaksi perniagaan langsung.
“Hasil tunai daripada pelupusan itu akan digunakan untuk membayar balik pinjaman dan/atau sebagai modal kerja untuk Kumpulan BCorp.
“Pelupusan ini juga akan membolehkan Kumpulan merealisasikan sebahagian daripada pelaburannya dalam REDtone,” katanya.
BCorp berkata, pada 31 Okt 2024, jumlah bawaan Kumpulan BCorp untuk saham REDtone yang dijual ialah 69 sen sesaham, ditanggung sejak Disember 2014.
Tambahnya, pelupusan itu tidak akan menjejaskan modal saham terbitannya, pegangan saham pemegang saham yang besar, aset bersih, pendapatan atau penggearan untuk tahun kewangan semasa berakhir 30 Jun 2025.
Syarikat itu juga berkata pelupusan itu diunjurkan meningkatkan ekuiti (di bawah rizab penyatuan) dalam penyata kedudukan kewangan Kumpulan BCorp sebanyak kira-kira RM7.68 juta. -MalaysiaGazette