KUALA LUMPUR – Kementerian Digital masih dalam proses perbincangan bersama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam penggubalan dasar digital untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PKS).
Dasar itu digubal untuk membantu para peniaga menggunakan teknologi digital dalam perniagaan mereka.
Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, pihaknya telah bertemu dengan KUSKOP dan pihak berkepentingan yang berkaitan dua minggu lalu.
“Disebabkan PKS berada di bawah KUSKOP, kami sedang mencari penyelesaian untuk memastikan para peniaga dapat menggunakan teknologi dalam perniagaan mereka.
“Jadi, kami sedang melihat bagaimana kementerian dapat menyediakan persekitaran kondusif untuk memastikan penyelesaian kos efektif industri ini,” katanya.
Gobind berkata demikian dalam satu sidang media selepas Majlis Peluncuran Impak Kecerdasan Buatan (Ai), Digital, dan Ekonomi Hijau di MITEC, di sini, hari ini
Tambahnya, beliau telah mengemukakan cadangan dan maklum balas kepada KUSKOP berkaitan penggubalan dasar itu.
“Perkara itu akan dibawa dan diketengahkan supaya sampai ke peringkat seterusnya.
“Saya harap perkara ini akan dapat dimuktamadkan pada akhir bulan ini supaya kementerian dapat membuat keputusan mengenai dasar dan langkah seterusnya menjelang akhir tahun,” tambahnya. – MalaysiaGazette