GEORGE TOWN – Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad mengingatkan pegawai dan anggotanya tiada siapa yang akan dilindungi sekiranya mereka terlibat dalam jenayah termasuk penagihan dadah.
Tegas beliau, pihaknya tidak akan berkompromi dengan salah laku jenayah yang menjejaskan nama baik pasukan.
“Berdasarkan rekod untuk tahun ini seramai enam anggota di negeri ini dilaporkan terlibat kes dadah. Sehubungan itu, saya nasihatkan pegawai dan anggota untuk mengambil iktibar daripada kes yang berlaku seperti mana dilaporkan dalam media massa.
“Kita semua harus memastikan perkhidmatan pasukan bertunjangkan integriti dan tatakelola yang baik serta mendukung dasar-dasar ke arah kesejahteraan serta memulihkan keyakinan masyarakat,” katanya.
Hamzah berkata demikian selepas menyaksikan serah terima tugas antara pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake dengan Ketua Polis Daerah Timur Laut yang baharu, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhamamd di IPD Timur Laut di sini hari ini.
Pada 15 November lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain meluahkan rasa kecewa dan terkilan susulan seramai 22 pegawai polis terbabit dalam kes jenayah komersial pada tahun lalu. – MalaysiaGazette