Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kesesakan di Tambak Johor di IPD Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 18 NOVEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju untuk memuktamadkan proses perolehan sistem kod respons pantas (QR) menerusi aplikasi MyRENTAS di pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) Johor pada tahun ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan itu dicapai bagi mengatasi masalah kesesakan Tambak Johor yang kini merekodkan lebih dua juta transaksi pergerakan pengguna.

“Mesyuarat pada hari ini telah bersetuju untuk dimuktamadkan proses perolehannya pada tahun kewangan semasa.

“Hasil POC (proof of concept) itu dibentangkan, jadi mesyuarat bersetuju keputusan pada dasarnya adalah memuktamadkan proses perolehan pada tahun kewangan semasa pada tahun ini juga,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Terdahulu Saifuddin hadir ke mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kesesakan di Tambah Johor Bilangan 2 Tahun 2024 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Menurut Saifuddin, mesyuarat jawatankuasa itu juga bersetuju agar sistem kod QR diperluaskan kepada mod pengangkutan selain bas dan motosikal.

“Mesyuarat juga bersetuju bahawa peluasan penggunaan kod QR ini di semua mod pintu masuk lain dibuat secara berfasa, kita bermula dengan dua, bas dan motosikal selepas ini mod kenderaan yang lain.

“Jadi mesyuarat hari ini bersetuju untuk penggunaan kod QR ini akan diperluaskan kepada mod pengangkutan lain,” katanya.

Selain itu, menurutnya, terdapat 52 insiatif keseluruhannya untuk menangani kesesakan Tambak Johor di mana dari jumlah itu, sebanyak 22 insiatif atau 42 peratus sudah siap dilaksanakan.

“Kemudian 10 insiatif atau 19 peratus pula sedang dilaksanakan  manakala 20 insiatif lagi belum dilaksanakan. Mesyuarat hari ini adalah untuk menerima pembentangan tentang laporan kemajuan pelaksanaan setelah kita kenal pasti inisiatifnya. Hasil akhir kesesakan dapat dikurangkan,” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin mendedahkan, setiap tahun sebanyak 17 peratus berlaku trend peningkatan pengguna yang ketika ini mencecah 400,000 penggembara sehari melalui Tambak Johor.

“Bahkan saya baru balik dari Singapura minggu lepas, data sebelah Singapura pada musim cuti sekolah yang panjang misalnya pada Ogos ketika menyambut kemerdekaan Singapura, pada hari itu mencatat sehingga 595,000 sehari.

“Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor harus berusaha sedaya upaya kami untuk mencari jalan bagi mencapai formula ke arah melegakan isu kesesakan ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here