KUALA LUMPUR – Program Jualan Rahmah MADANI akan diadakan sebanyak dua kali sebulan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula tahun depan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KDPN), Fuziah Salleh berkata, program itu serta inisiatif Jualan Agro MADANI merupakan salah satu daripada lima ikhtiar kerajaan dalam memastikan kuasa beli rakyat dapat ditingkatkan.
Selain itu, ujar beliau, kerajaan turut melaksanakan langkah kawalan harga barang termasuk meletakkan harga siling terhadap barangan tertentu seperti gula, minyak masak dan telur serta banyak lagi.
“Dalam masa sama, kerajaan juga sentiasa memastikan sepanjang rantaian bekalan barangan keperluan itu, tidak wujud aktiviti pencatutan atau kartel supaya kita dapat kawal harga barangan tersebut.
“Akhir sekali, kerajaan turut meningkatkan lantai ekonomi rakyat antaranya menerusi STR (Sumbangan Tunai Rahmah), sistem saraan perkhidmatan awam, dasar gaji progresif, dasar gaji miniman dan sebagainya untuk memastikan dapat membantu rakyat dalam kuasa beli mereka,” katanya pada sesi pertanyaan Menteri dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Fuziah (PH-Kuantan) menjawab soalan Azahari Hasan (PN-Padang Rengas) berkenaan perancangan KPDN dalam menangani masalah kenaikan harga barang yang membawa kepada kesan inflasi sehingga menyebabkan kuasa beli pengguna mengecil.
Sementara itu, Fuziah berkata, kadar inflasi negara ketika ini adalah terkawal yang mana sejak tahun lepas, kadarnya tidak pernah melebihi dua peratus.
Sebagai perbandingan, ujarnya, kadar inflasi negara pada September lalu dicatatkan pada 1.8 peratus berbanding 1.9 peratus pada bulan sebelumnya.
“Tetapi sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem pasaran bebas, harga barangan dan perkhidmatan adalah dipengaruhi oleh faktor tawaran dan permintaan.
“Bagaimanapun, kerajaan bertanggungjawab untuk memastikan kuasa beli rakyat dapat ditingkatkan dengan sentiasa memastikan bekalan dan harga keperluan asas adalah stabil dan di paras yang selesa,” katanya. – MalaysiaGazette