Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin. Foto MALAYSIA GAZETTE, 13 NOVEMBER 2024

KUALA LUMPUR- Keluarga Allahyarham Tun Daim Zainuddin merakam penghargaan kepada seluruh keluarga, sahabat dan kenalan dari seluruh dunia dan rakyat Malaysia yang memberikan penghormatan terakhir kepadanya, baru-baru ini.

“Kami merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada para doktor, jururawat, kakitangan dan pihak pengurusan Hospital Assunta, di atas penjagaan dan keprihatinan yang ditunjukkan selama beberapa tahun sehinggalah detik terakhir Allahyarham.

Setinggi-tinggi penghargaan juga diucapkan kepada warga Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Masjid Wilayah, Polis Diraja Malaysia dan Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara atas segala bantuan yang diberikan,” kata keluarga Allahyarham dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, perjalanan hidup Allahyarham sebagai anak watan Kedah dari kampung halamannya di Alor Setar sehinggalah ke pesada dunia, diwarnai dengan jasa yang dicurahkannya atas semangat untuk berbakti kepada agama, bangsa, dan negara yang dicintainya.

Allahyarham mengabdikan hidupnya ke arah matlamat memajukan, membangunkan dan memperkasakan ekonomi Malaysia. Baginya, kehebatan yang hakiki bukan terletak pada kuasa, tetapi pada usaha gigih yang tidak mengharapkan balasan.

Namun yang paling utama, prinsip yang paling dipentingkan oleh Allahyarham dalam hidupnya adalah imannya yang mendalam kepada Allah, sebutan yang tak tinggal darinya ialah syukur kepada Allah.

“Di sebalik semua kejayaannya di dunia, beliau yakin ganjaran yang diterima adalah disebabkan keimanannya kepada Allah. Dan apabila berdepan kesukaran, beliau bertawakal kepada-Nya. “Lakukan apa yang mampu dan selebihnya serahlah kepada Allah”. Seperti kita, beliau beriman kepada Allah yang Maha Mengetahui.

“Pencapaian Allahyarham amat membanggakan kami, namun lebih daripada semua itu, Allahyarham adalah seorang suami, ayah, datuk dan moyang kami. Allahyarham adalah guru kami, pelindung kami, sumber kekuatan kami dan pembimbing akhlak kami.

“Di sebalik kehebatan akal dan ketinggian wawasan, beliau berjiwa lembut dan menjadi teladan kepada kami melalui pertuturannya dan tingkah lakunya, sifat rendah dirinya dan integritinya, sifat murah hati dan rahmah, serta kekuatannya dalam kesabaran. Jasanya kepada orang jarang-jarang disebutnya, kerana beliau yakin nilai sebenar kehidupan ini bukan terletak kepada apa yang dimiliki, tetapi kepada apa yang disumbangkan.

“Biarpun Allahyarham tidak lagi berada di samping kita, harapan kami ialah usaha beliau walau sekecil mana pun telah membantu mencapai masa depan yang lebih cerah untuk semua rakyat Malaysia. Beliau sentiasa berpesan kekuatan negara ini terletak kepada kepelbagaian, perpaduan, usaha gigih dan keyakinan yang utuh bahawa kita boleh bersama-sama mencapai kegemilangan.

“Sehingga ke akhir hayatnya, beliau kekal yakin kepada potensi negara ini, untuk menjadikan Malaysia lebih adil, makmur, inklusif dan bersatu,” tambah kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, kepada mereka yang pernah bekerja dengan Allahyarham dan sentiasa mendampinginya, yang berkawan, menyokong dan mempercayai visinya, keluarga Daim terhutang budi kerana kerana telah memperkayakan perjalanan hidup Allahyarham.

“Beliau amat menghargai ikatan persahabatan yang dijalinkan sama ada di dalam atau luar negara. Sering kali beliau bercakap mengenai anda dengan penuh rasa syukur, kerana sedar yang kejayaan tidak mungkin dicapai berseorangan.

“Kami sekeluarga memanjatkan syukur kerana diberikan peluang bersamanya. Walaupun kehilangannya tiada ganti, legasi yang ditinggalkannya memberikan kami ketenangan. Dalam meratapi kehilangannya, kami meraikan kehidupannya dan bagaimana beliau menyentuh kehidupan orang di sekelilingnya. Semoga legasi beliau memberi inspirasi kepada kita semua untuk menjadi insan yang lebih baik,” tambah kenyataan itu.

Keluarga Allahyarham Daim turut berdoa agar Allahyarham dikenang dan dihormati dalam cara yang sama beliau menjalani kehidupannya secara tenang dan bermaruah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here