Gambar hiasan

KUANTAN – Kegiatan haram memunggah bauksit tanpa mengikut prosedur operasi standard (SOP) di Bukit Goh yang telah dihidu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seharusnya disiasat lebih mendalam supaya semua pihak terlibat dibawa ke muka pengadilan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Mohamad Ayub Mat Ashri menegaskan, pihaknya terkejut dengan tindakan berani pihak bersubahat mengangkut bahan mineral itu.

Ini kerana, katanya, proses pengeluaran bauksit masih berada  peringkat simulasi untuk diberikan lesen kepada satu syarikat dan pemilik tanah sahaja di Bukit Goh.

“Sebenanrnya mereka yang terlibat belum diberikan sebarang lesen penuh untuk beroperasi oleh pihak berkuasa bagi permohonan mereka bagi mengangkut sumber mineral tersebut.

“Apa yang berlaku ini jelas melanggar undang-undang dan mencemarkan usaha kita untuk memastikan pengurusan hasil bumi dijalankan secara beretika.

“Justeru, bagi saya, ini bukan sahaja soal undang-undang tetapi juga soal integriti dan keadilan. Saya komited memastikan sebarang aktiviti haram sebegini tidak berulang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

SPRM sebelum ini menggempur kegiatan memunggah keluar hasil galian yang dipercayai mengandungi bauksit tanpa mengikut prosedur yang sah di sekitar daerah ini yang disyaki dilindungi pegawai sebuah agensi di bawah kerajaan negeri sejak tahun 2022.

Seramai tiga individu membabitkan dua pemilik syarikat dan seorang pegawai agensi berkautan kerajaan negeri ditahan pada Khamis lalu dalam serbuan dijalankan Bahagian Perisikan SPRM di sekitar Bukit Goh.

Justeru Mohamad Ayub mahu tindakan tegas diambil tanpa mengira kedudukan atau jawatan individu yang terlibat dalam pelanggaran prosedur berkenaan.

Tegasnya tiada sebarang kompromi berkaitan isu pelanggaran prosedur melibatkan pengeluaran hasil bumi atau hutan lebih-lebih lagi di dalam DUN (Dewan Undangan Negeri) Sungai Lembing.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Andansura Rabu menyifatkan dalang yang terbabit mengangkut bahan mineral itu sebagai pengkhianat.

ADUN Beserah itu sekali gus menyokong penuh tindakan SPRM dalam membanteras aktiviti haram itu.

“Penyalahgunaan kuasa adalah pengkhianatan. Kami mengutuk keras sebarang bentuk rasuah dan salah guna kuasa yang mencemari integriti pentadbiran.

“Perbuatan melindungi kegiatan haram seperti ini bukan sahaja melanggar undang-undang, tetapi juga mengkhianati amanah rakyat dan mencemarkan nama baik negeri Pahang,” katanya.

Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan Kerajaan negeri akan memberi kerjasama kepada SPRM berhubung siasatan pemunggahan keluar hasil galian bauksit di sekitar Kuantan.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, siasatan tersebut juga dapat membantu kerajaan negeri mengatasi salah laku dalam kalangan pegawainya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN :

Pahang beri kerjasama SPRM siasat kes punggah keluar hasil galian bauksit

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here