KUALA LUMPUR- Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari menyempurnakan Majlis Penghantaran Kumpulan Keempat Kontinjen Malaysian Battalion (MALBATT) 850-12 di 16 Skuadron, Pangkalan Udara Subang, hari ini
Kumpulan keempat kontinjen MALBATT 850-12 diketuai oleh Timbalan Komander MALBATT 850-12, Leftenan Kolonel Firdaus Shah Budin dengan kekuatan seramai 209 anggota, terdiri daripada 7 pegawai dan 202 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP).
Kontinjen MALBATT 850-12 secara keseluruhannya berkekuatan 854 anggota, terdiri daripada 82 pegawai dan 772 anggota LLP, termasuk 3 pegawai dan 27 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta seorang Pegawai Kewangan Awam dari Kementerian Pertahanan.
“Penglibatan MALBATT di bawah UNIFIL bukan sahaja melambangkan sokongan berterusan Malaysia terhadap usaha pengaman PBB, tetapi juga memperlihatkan peranan proaktif negara ini dalam mempromosikan kestabilan dan keselamatan antarabangsa melalui pendekatan diplomatik serta penyelesaian konflik secara aman,” kata Kementerian Pertahanan dalam kenyataan.
Tambahnya, atur gerak Kontinjen MALBATT 850-12 telah dilaksanakan secara berperingkat.
Ia bermula dengan penghantaran kumpulan pertama pada 6 November lalu sehingga penerimaan kumpulan terakhir kontinjen MALBATT 850-11 pada 20 November 2024 menggunakan pesawat BATIK AIR.
Menurut Kementerian Pertahanan, pertukaran ini dilakukan kerana tempoh penugasan kontinjen MALBATT 850-11 telah tamat dan memerlukan penggantian kontinjen MALBATT 850-12.
Ia juga selaras dengan ketetapan Force Commander Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa- bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) yang turut melibatkan semua negara yang menyertai UNIFIL dengan mengambilkira semua faktor dan situasi semasa.
Bagi memastikan kelancaran misi, semua anggota kontinjen MALBATT 850-12 telah menjalani latihan intensif, selain persiapan mental dan fizikal sebelum diaturgerakkan.- MalaysiaGazette