Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Liew Chin Tong

KUALA LUMPUR – Kerajaan menerusi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan mengumumkan laporan berkenaan impak kapasiti berlebihan dalam industri besi dan keluli khususnya dari China dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, ketika ini, laporan itu sedang disediakan satu jawatankuasa bebas yang dilantik MITI.

Dalam masa sama, beliau mengakui kerajaan bimbang terhadap kapasiti besi dan keluli di Asia Tenggara terutama dalam konteks China sedang mengalami kelembapan ekonomi khususnya dalam industri pembinaan dan hartanah.

“Laporan oleh jawatankuasa bebas ini juga akan memberikan hala tuju untuk negara dalam kita menghadapi isu lebihan besi dan keluli ini,” pada sesi pertanyaan Menteri pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Ching Tong (PH-Iskandar Puteri) menjawab soalan tambahan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) berkenaan perancangan kerajaan dalam berdepan isu lambakan serta pengeluaran produk besi dan keluli dari China.

Menjelaskan lebih lanjut, Ching Tong berkata, sektor besi dan keluli ketika ini sedang mengalami masalah bukan hanya di negara ini malah di seluruh dunia terutama di Asia Tenggara.

Katanya, kapasiti besi dan keluli akan bertambah secara berlipat kali ganda dalam tempoh lima hingga enam tahun akan datang yang mana pada 2021 kapasitinya di Asia Tenggara adalah sebanyak 75 juta metrik tan.

“Jika semua kapasiti keluli dan besi seperti dijanjikan memulakan pengeluaran maka kapasitinya di Asia Tenggara akan mencecah sehingga 150 juta metrik tan pada 2027,” katanya.

Sementara itu, kepada soalan asal oleh Datuk Seri Hasni Mohamad (BN-Simpang Renggam) berkenaan langkah diambil kerajaan untuk melindungi industri tempatan daripada impak kapasiti berlebihan pembuatan China, Chin Tong berkata, sebanyak sembilan tindakan antilambakan dan tiga tindakan pelindung telah diambil terhadap produk-produk yang diimport dari negara itu sejak 2015 hingga 2023.

Jelasnya, ia termasuk produk besi dan keluli, plastik serta bahan binaan yang mana telah menyebabkan kemudaratan material atau kecederaan serius kepada industri domestik Malaysia.

Selain itu kerajaan juga sedang menjalankan siasatan antilambakan ke atas empat produk besi dan keluli serta plastik yang berkemungkinan disebabkan oleh lebihan kapasiti dari industri pembuatan China.

“Siasatan yang dilaksanakan oleh kerajaan ini adalah selaras dengan akta domestik dan peraturannya serta perjanjian-perjanjian di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (World Trade Organisation – WTO),” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here