17.11.2024 Presidente da República, Luiz Inácio Lula da Silva, durante Reunião com o Primeiro-Ministro da Malásia, Anwar Ibrahim. Rio de Janeiro - RJ 

Foto: Ricardo Stuckert / PR

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Brazil komited memperkukuhkan kerjasama dua hala dalam pelbagai aspek.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar berkata, perkara itu dibincangkan dalam pertemuan dengan Presiden Luiz Inácio Lula da Silva di luar Sidang Kemuncak G20 yang berlangsung di Rio De Janeiro (Brazil).

“Termasuk kesihatan, industri halal, keterjaminan makanan dan pertanian, sains, teknologi dan inovasi, semikonduktor serta alam sekitar dan perubahan iklim,” katanya menerusi hantaran di  laman Facebook.

Katanya, turut dibincangkan adalah komitmen kedua-dua negara untuk memerangi ketidaksetaraan, kelaparan dan kemiskinan serta usaha meningkatkan taraf hidup rakyat.

Selain itu katanya, beliau dan Luiz turut menyentuh isu mengenai pembaharuan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selain mengundangnya hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN yang akan diadakan pada tahun depan.

“Malaysia dan Brazil akan meneroka inisiatif terbaik sewaktu Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN manakala Brazil sebagai Presiden BRICS dan tuan rumah Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP).

“Saya yakin dan percaya hubungan diplomatik kedua-dua negara yang terjalin selama 65 tahun ini akan terus berkembang pesat demi manfaat bersama,” tambah beliau.

Anwar kini berada di Brazil bagi menghadiri Sidang Kemuncak G20. – MalaysiaGazett

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast