KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini menolak usul yang dikemukakan Ahli Parlimen Kapar, Chong Zhemin untuk merujuk Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berhubung kontroversi perkataaan ‘mamak pasembur’.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul Abdul berkata, keputusan itu dibuat selepas beliau berpuas hati bahawa tidak wujud prima facie terhadap perkara yang dibangkitkan di bawah Peraturan Mesyuarat 36(4) dan 36(12), Peraturan- peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (PPMMDR).
Tambahnya, beliau telah mendapatkan penjelasan daripada Afnan Hamimi berhubung perkara diusulkan dan mendapati kenyataan Ahli Parlimen Alor Setar berkenaan tidak membawa konotasi tidak sopan atau implikasi negatif terhadap tertib dalam Dewan.
“Justeru, saya dengan ini menolak usul Yang Berhormat (Kapar),” katanya menerusi satu notis yang dikeluarkan hari ini.
Sementara itu, menjelaskan lebih lanjut, Johari berkata, bagi menentukan sama ada perkara yang dibangkitkan terjumlah di bawah Peraturan Mesyuarat 36(12) PPMMDR, tiga elemen perlu dipenuhi terlebih dahulu.
Katanya, ia termasuk kenyataan yang diberikan hendaklah suatu kenyataan yang mengelirukan Dewan dan ahli yang membuat kenyataan itu hendaklah tahu bahawa pada masa kenyataan itu dibuat kenyataan tersebut adalah tidak tepat.
Selain itu, jelas beliau, elemen lain adalah semasa memberikan kenyataan tersebut, Ahli Parlimen berkenan sememangnya berniat untuk mengelirukan Dewan.
Pada 24 Oktober lalu, Zhemin menyerahkan notis kepada Setiausaha Dewan Rakyat untuk merujuk dua Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) iaitu Afnan Hamimi dan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Ini kerana, dakwa Zhemin, kedua-dua Ahli Parlimen PN berkenaan menggunakan kata-kata yang dianggap melanggar etika Parlimen ketika berbahas.
Melalui hansard, Zhemin memetik kata-kata Afnan Hamimi sebagai: “Perdana Menteri ini ada pejabat, ada pegawai. Perdana menteri bukan ‘mamak pasembur’ boleh turun ikut dan (tanpa mengira masa) jumpa orang atas jalan. Tak boleh, dia ada SOP dia, ada aturan dia. Dia kena ikutlah aturan pejabat itu.”
Bagi kes Rosol pula, Zhemin memetik petikan yang disiarkan menerusi hansard yang berbunyi: “Banyak cukai akan dibebankan di atas pundak rakyat. Bukan ‘pund*k’ ya, pundak.”
Perkataan ‘pund*k’ itu disebut Rosol ketika mencelah perbahasan Belanjawan 2025 oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Sementara itu, dalam reaksi kepada keputusan Speaker Dewan Rakyat tersebut, Afnan Hamimi secara sinikal berharap Zhemin selepas ini tidak lagi ‘alergi’ dengan perkataan ‘pasembur’.
“Harap Kampar lepas ni tak alergik dengan pasemboq.
“Makan panas-panas sedap juga nohh,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau. – MalaysiaGazette