MELAKA – Yang Dipertua Negeri, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam menarik balik darjah kebesaran negeri kepada Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif GISB Holdings (GISBH) Nasiruddin Mohd Ali yang membawa gelaran Datuk pada 25 Ogos lalu, berkuatkuasa serta merta.
Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Azhar Arshad berkata, penarikan balik Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M.) dilakukan setelah Mohd Alib mendapat nasihat daripadab Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
“Penarikan balik Darjah Kebesaran ini dibuat serta merta selaras dengan kuasa prerogatif Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka dalam Perkara 34B, Bahagian IV, Perlembagaan Negeri Melaka.
“Sehubungan dengan itu, nama Encik Nasiruddin bin Mohd Ali telah dikeluarkan dari Senarai Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka Tahun 2024,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Tambah kenyataan itu, Nasiruddin tidak dibenarkan menggunapakai gelaran tersebut dan beliau dikehendaki memulangkan semula darjah kebesaran itu kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka di Kompleks Seri Negeri, Melaka. – MalaysiaGazette