KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang mempertimbangkan kesesuaian untuk mengubah laluan kenderaan komersial dari Woodlands ke Tuas.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, bagi tujuan itu, Kementerian Pengangkutan (MOT) akan mengetuai perbincangan dengan pihak Singapura kerana bersifat dan berasaskan bukti.
“Kita bincang tadi, tidak ada ketetapan apa-apa sebab mesyuarat mengambil maklum bahawa hal ini. Kita tak boleh kata, kenderaan komersial adalah punca kesesakan di BSI maka sekarang kita kena alih ke Tuas, dia tak boleh macam itu sahaja.
“Jadi satu kajian akan dibuat, Malaysia akan diwakili MOT dengan pihak Singapura untuk mereka tengok aliran pergerakan kenderaan komersial.
“Ideanya untuk mengkaji kesesuaian mengubah laluan kenderaan komersial dari Woodlands ke Tuas,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.
Terdahulu Saifuddin hadir ke mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kesesakan di Tambah Johor Bilangan 2 Tahun 2024 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Selain itu, kata Saifuddin, kerajaan juga sedang mempertimbangkan cadangan untuk menambah baik pas sedia yang dikeluarkan kerajaan Malaysia.
“Antaranya Pas De Rantau Nomad yang dikeluarkan bagi membolehkan golongan profesional dan tenaga mahir tinggal di kawasan Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ) tapi bekerja di Singapura.
“Mesyuarat telah menerima laporan tentang JS-SEZ di mana peranan Kementerian Dalam Negeri (KDN) ialah agensi peneraju untuk pergerakan manusia dan barang.
“Dengan adanya JS-SEZ, ia melibatkan isu pelaksanaan penempatan bersama atau co-located di ICQS sebagai penyelesaian dalam tempoh jangka pendek sebelum sistem sempadan tunggal diwujudkan dalam tempoh masa panjang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette