KUALA LUMPUR – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) diminta melonggarkan syarat penjualan buah kelapa sawit tanpa perlu mewajibkan geran tanah dan lesen kerana ia membebankan pekebun kecil khususnya masyarakat Orang Asli.
Meluahkan perkara tersebut, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) berkata, beliau didatangi wakil masyarakat Orang Asli di kawasannya yang melahirkan kebimbangan mereka susulan langkah kerajaan yang mahu mewajibkan perkara berkenaan sebagai syarat penjualan kelapa sawit.
Katanya, perkara sama turut melibatkan pemilik tanah pusaka yang belum selesai tuntutan pembahagian tanah atau masih di peringkat pentadbiran.
“Kalau ikutkan untuk dapatkan geran tanah baru dapat lesen, yang mengerjakan tanah pusaka ibu bapa mereka juga tidak akan mendapat lesen untuk menjual buah dan sebagainya.
“Jadi, saya berharap untuk mendapatkan pandangan daripada pihak MPOB dan kementerian atau kalau boleh tukarkan dasar tersebut kekalkan dasar lama…kalau masyarakat Orang Asli perlu mendapatkan pengesahahan daripada JAKOA (Jabatan Kebajikan Orang Asli) sahaja.
“Mereka mendapat pengesahan ini dan lesen dikeluarkan dulu tanpa melihat pada geran tanah secara berasingan dan sebagainya.
“Kalau ini dapat dilakukan tidak timbul isu besar kepada masyarakat Orang Asli kerana jika tidak mereka tiada punca pendapatan daripada kepada sawit ini,” katanya pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, Ismail yang juga bekas Perdana Menteri bertanya sejauh manakah kejayaan penerokaan negara yang terlibat dan negara Afrika yang membeli produk berasaskan sawit dari Malaysia.
Katanya, sebelum ini, Malaysia banyak meneroka pasaran baharu untuk minyak kelapa sawit dengan salah satu pasaran baharu itu di Afrika.
“Saya hanya nak tahu, sejauh manakah penerokaan kita, berapa banyak negara Afrika yang terlibat dan berapa negara Afrika yang membeli produk sawit dari Malaysia,” ujarnya. – MalaysiaGazette