GEORGE TOWN – Polis sedang melengkapkan siasatan kes lelaki tempatan hilang bebola mata kiri akibat dikorek suspek warga asing dalam kejadian di tepi jalan Flat Rathina, Jalan Ara Kuda, Tasek Gelugor, dekat sini, pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, hasil siasatan mendapati berlaku pertengkaran mulut antara mangsa berusia 52 tahun dengan suspek berumur 28 tahun sebelum berakhir dengan pergaduhan.
“Punca pergaduhan bermula daripada perselisihan faham antara kedua-dua mereka yang merupakan jiran perumahan sama.
“Siasatan lanjut juga mendapati mangsa mempunyai beberapa rekod jenayah lampau dan ketika kejadian dia dipercayai berada dalam keadaan mabuk,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, Hamzah menyaksikan serah terima tugas Ketua Polis Daerah Timur Laut dan Pengerusi Perkep di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Hamzah berkata, mangsa kini masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
“Keadaan mangsa semakin pulih dan mengalami kecacatan kekal akibat insiden tersebut.
“Kita kini sedang lengkapkan siasatan untuk mendakwa suspek yang merupakan memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di mahkamah,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
Semalam, polis mengesahkan lelaki warga asing yang bertindak mengorek keluar bebola mata kiri seorang lelaki tempatan direman selama empat hari.
Reman terhadap suspek dibenarkan sehingga 20 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette