KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KDPN) akan membanteras habis-habisan aktiviti penyelewengan barangan bersubsidi termasuk minyak masak peket satu kilogram (kg).
Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, ketika ini, anggota dan pegawai penguatkuasaan KPDN bekerja 24 jam bagi memastikan tidak berlakunya ketirisan barang keperluan bersubsidi terutama minyak masak peket.
Selain itu, ujar beliau, KPDN juga menggunakan sistem eCOSS untuk memantau rantaian pembekalan minyak masak peket bersubsidi tersebut iaitu bermula daripada pihak pekilang kepada pemborong sehinggalah kepada peruncit.
“Peruncit misalnya mereka kena isi buku log iaitu kepada siapa mereka menjual minyak masak peket tersebut.
“Tetapi kadang-kala ada peruncit yang tidak menyimpan buku log mereka dengan baik (mendorong kepada aduan ketirisan minyak masak peket bersubsidi),” katanya pada sesi pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Fuziah (PH-Kuantan) menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang meminta kerajaan menjelaskan mekanisme diambil bagi memastikan minyak masak peket bersubsidi benar-benar sampai kepada kumpulan sasaran khususnya golongan B40.
Menjelaskan lebih lanjut, Fuziah berkata, ketika ini, sebanyak 60 juta minyak masak peket bersubsidi satu kg dikeluarkan kerajaan setiap bulan khusus kepada golongan sasar termasuk keluarga B40.
Namun, ujarnya, terdapat pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan daripada minyak masak peket bersubsidi itu sebagai contoh menggunakannya untuk perniagaan seperti di restoran dan sebagainya. – MalaysiaGazette