Tangkap layar insiden sebuah kereta BMW rempuh motosikal yang dinaiki tiga mangsa termasuk kanak-kanak tujuh tahun di Lebuhraya Bukit Jalil pada 15 November lalu.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan hari ini selepas menyerah diri susulan insiden tiga beranak dirempuh sebuah kenderaan di Lebuhraya Bukit Jalil, Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya mengesahkan kemalangan itu berlaku sekitar jam 9.50 malam.

“Siasatan mendapati, dalam kejadian itu penunggang motosikal dan pembonceng bersama anaknya telah terjatuh di atas jalan di Lebuhraya Bukit Jalil.

“Ketiga-tiga mangsa dihantar ke hospital oleh orang awam dan anak mangsa berumur tujuh tahun telah meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan.

“Manakala penunggang dan pembonceng motosikal itu mengalami kecederaan ringan.

“Kemudian, pemandu kereta itu merupakan lelaki berumur 31 tahun telah hadir ke Balai JSPT KL hari ini dan ditahan polis untuk siasatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Difahamkan, kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis Honda Beat yang dinaiki ketiga-tiga mangsa manakala suspek menaiki sebuah kenderaan jenis BMW.

Bagaimanapun katanya, lelaki itu kemudian dilepaskan dengan jaminan polis selepas selesai dirakam keterangan berhubung kes terbabit untuk membantu siasatan lanjut.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Pendakwaan Negeri dalam masa terdekat bagi arahan pertuduhan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.

Terdahulu, tular satu video memaparkan tiga beranak yang menunggang sebuah motosikal telah dirempuh sebuah kenderaan di Jalan Puchong menghala ke Bukit Jalil, pada 15 November lalu.

Kejadian itu berjaya dirakam menerusi kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan awam yang berada di tempat kejadian.

Pada masa sama, ayah saudara kepada kanak-kanak perempuan yang maut itu menuntut hukuman setimpal terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam insiden tersebut.

Muhammad Syawal Naim Ghazali berkata, walaupun keluarganya reda dengan ketentuan takdir, tetapi mereka tetap berharap keadilan dapat ditegakkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast