Ku Mashariman menunjukkan rampasan ketum membabitkan tangkapan 11 suspek termasuk pemandu lori dalam serbuan pada 15 November lalu.

KUALA LUMPUR – Aktiviti pemunggahan barang  ke dalam lori dalam keadaan mencurigakan membawa kepada rampasan daun ketum dan cecair disyaki kodein bernilai RM63,880 di ibu negara pada minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pada 15 November lalu jam lebih kurang 8.50 malam, pasukan cawangan Unit Rondaan Bermotosikal telah mengesan aktiviti pemunggahan berkenaan oleh beberapa individu di  Taman Tan Yew Lai.

Hasil soal siasat polis telah menahan seramai 11 individu berusia lingkungan 27 hingga 47 tahun di hadapan sebuah rumah kedai di kawasan berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut terhadap barang pemunggahan di lori berkenaan berjaya membawa kepada rampasan bungkusan plastik mengandungi daun ketum seberat 1.3 tan dan kotak yang mengandungi botol disyaki cecair kodein anggaran sukatan sebanyak 50 liter.

“Kesemua rampasan itu sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan barang dianggarkan bernilai RM63,880,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Tambah Ku Mashariman, siasatan lanjut mendapati rumah kedai itu dijadikan sebagai setor simpanan daun ketum dan cecair kodein.

Turut dirampas sebuah lori jenis Hino serta serangkai kunci lori dan kunci mangga rumah kedai tersebut daripada suspek.

“Siasatan awal mendapati seorang suspek yang bekerja sebagai pemandu lori terlibat dalam akiviti pengedaran daun ketum itu sejak tiga bulan yang lalu.

“Suspek mendapatkan bekalan daripada seorang lelaki yang berasal dari negara jiran di kawasan sebuah negeri di utara Semenanjung sebelum menghantar bekalan ketum itu ke ibu negara dengan kekerapan dalam tempoh seminggu sekali di sekitar kawasan Jalan Tan Yew Lai untuk pengedaran secara kecil-kecilan,” ujarnya.

Tegas Ku Mashariman lagi, hasil semakan lanjut polis mendapati enam suspek memiliki rekod lampau kesalahan berkaitan kes dadah.

“Kami masih menjalankan risikan serta siasatan lanjut untuk mengenal pasti saki baki ahli-ahli sindiket yang terlibat dalam aktiviti pengedaran daum ketum terbabit serta sumber asal bekalan itu diperoleh,” katanya.

Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 22 November depan untuk membantu siasatan lanjut polis yang dikendalikan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tambahan berkaitan dengan rampasan dadah berkenaan boleh menyalurkan maklumat tersebut ke talian 03-229 79222 untuk membantu siasatan polis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here