BUKIT MERTAJAM – Seorang pemandu treler kontena mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian terhadap gadis berusia 21 tahun pada Rabu lalu.
Tertuduh, Marhizan Johari, 51, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibaca jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga cahaya mata itu didakwa memandu dengan cara berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian pemandu wanita iaitu Lee Zi Rou, 21 tahun.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Kebun Sireh, di sini, jam 9.30 pagi pada 13 November lalu.
Bagi kesalahan itu dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM50,000 jika disabit kesalahan.
Selain itu, tertuduh juga bakal hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dari tarikh sabitan.
Ketika prosiding Timbalan Pendakwa Raya, Zulfadzly Hassan tidak menawarkan sebarang bentuk jaminan susulan kes itu telah mendapat liputan meluas dan viral di media sosial.
“Tertuduh tidak menunjukkan rasa bersalah terhadap perbuatannya. Kes ini sudah viral, dia (tertuduh) telah menunjukkan isyarat ‘peace’,” katanya.
Majistret kemudian tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 24 Januari tahun depan sebagai sebutan semula kes.
Dalam kejadian pada Rabu lalu, seorang wanita maut manakala seorang lelaki cedera parah selepas kereta dipandu mereka dihempap kontena yang terjatuh dari sebuah treler dalam kemalangan lima kenderaan di Jalan Bukit Tengah di sini.
Mangsa yang maut, Lee Zi Rou, 21, memandu kereta Perodua Bezza manakala Tan Chou Theng, 25, yang cedera parah adalah pemandu Honda Jazz. – MalaysiaGazette