SUBANG JAYA – Seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh sebuah kereta semasa berhenti di lampu isyarat di Jalan Persiaran Putra Perdana di sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, nahas jam 5.20 petang itu berlaku semasa mangsa seorang lelaki tempatan sedang menunggu lampu isyarat merah untuk membelok ke kanan.
“Tiba-tiba penunggang itu telah dilanggar oleh sebuah kereta jenis Perodua Axia yang datang dari arah belakang.
Akibat rempuhan kuat itu, penunggang motosikal berusia 37 tahun itu disahkan maut di lokasi kejadian selepas diperiksa oleh paramedik yang bergegas ke lokasi nahas,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Tambah beliau, pemandu kereta dikenal pasti sebagai lelaki berusia 27 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian tersebut.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tambahan berhubung insiden maut itu boleh tampil membantu siasatan polis dengan menghubungi pegawai penyiasat bahagian trafik IPD Subang Jaya Inspektor Fatin Husna Khairuzzaman di talian 017-301 2621,” katanya.-MalaysiaGazette