KOTA BHARU – Berkuat kuasa 1 Disember depan, polis akan menahan mana-mana individu yang menggunakan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok untuk merentasi sempadan Malaysia-Thailand.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, mereka akan ditahan mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen yang memperuntuk hukuman denda tidak lebih RM10,000 jika sabit kesalahan.
“Saya sudah mengarahkan Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pegawainya supaya mengadakan pemantauan 24 jam di sempadan.
“Mereka (rakyat Malaysia) yang keluar ikut Sungai Golok dan kembali ke Malaysia, kita akan tangkap berkuat kuasa 1 Disember ini. Begitu juga dengan rakyat Thailand.
“Justeru, kita mengingatkan orang ramai supaya tidak menggunakan pangkalan haram sama ada untuk ke Thailand mahupun Malaysia sebaliknya menggunakan laluan sah Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS),” katanya dipetik dari BH Online di sini hari ini.
Mohd Yusoff berkata, pelaksanaan langkah itu bertujuan mengelak berlaku jenayah rentas sempadan membabitkan pembawaan barangan salah.
“Selama ini, kita tidak menggunakan Seksyen 5(2) Akta Imigresen tetapi mulai 1 Disember ini, kita akan menguatkuasakannya selepas mengadakan mesyuarat dengan kerajaan negeri,” katanya.
Beliau juga menjelaskan bagi keperluan perjalanan pelajar sekolah pula, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri untuk memperincikan perkara itu.
“Kita akan mengadakan perbincangan bagi menyelesaikan isu pelajar sekolah yang mana ada rakyat di sini bersekolah di Thailand dan ada juga rakyat sana belajar di Malaysia.
“Kita akan berbincang sama ada operasi ICQS akan dibuka lebih awal untuk kumpulan pelajar,” katanya. – MalaysiaGazette