ALOR GAJAH – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lelaki warga emas, Mokthar Othman, 61 yang dipercayai terjatuh dan lemas di Sungai Pengkalan, di sini, awal pagi semalam diteruskan meskipun tiada sebarang petunjuk selepas 31 jam dilaporkan hilang.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba Tc Zulkhairani Ramli berkata, operasi melibatkan lebih 37 anggota akan diperluas termasuk menggunakan Unit Anjing Pengesan (K9).
“Namun, kita juga tidak tolak kemungkinan juga orang yang hilang (OYH) berada di tempat lain kerana tiada sebarang petunjuk keberadaan mangsa dalam sungai semasa operasi SAR bermula pagi semalam.
“Setakat ini pencarian di air adalah berdasarkan beberapa petunjuk fizikal seperti selipar di tebing sungai dan rakaman video dari dashcam kereta OYH,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan seorang pengurus kilang dikhuatiri lemas dipercayai tergelincir ke dalam Sungai Pengkalan ketika
dipercayai berada di tebing sungai berkenaan.
Anak saudara lelaki itu memaklumkan OYH sebelum itu telah keluar seorang diri untuk membeli makanan kira-kira pukul 1.50 pagi dan tidak dapat dihubungi sehingga pukul 5 pagi.
Warga emas berkenan sebelum itu turut memberitahu isterinya mengalami sakit perut dan mahu menggunakan tandas awam di Taman Rekreasi Seri Sutera, Sungai Pengkalan, di sini, namun berkunci.
Menerusi kamera di papan pemuka kereta memaparkan mangsa kelihatan mundar-mandir di hadapan tandas dipercayai disebabkan ia berkunci kira-kira pukul 2 pagi dan pemeriksaan bomba sebaik pintu tandas dibuka juga tidak menemukan lelaki itu. – MalaysiaGazette