KUALA LUMPUR – Sebanyak 620,000 pekerjaa, bersamaan dengan 18 peratus daripada 3.5 juta pekerja, dijangka terjejas dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, ini bukanlah bermaksud 620,000 orang akan hilang pekerjaan tetapi pelbagai sektor akan mendapat impak penggunaan kecerdesan buatan (Ai).
“Dengan adaptasi teknologi ini, sebanyak 620,000 pekerjaan pelbagai sektor bakal mendapat kesan, di mana mereka mungkin perlu berpindah ke bahagian atau kerja lain.
“Oleh itu, untuk mengetahui impak Ai dengan lebih mendalam, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan meneruskan latihan kemahiran supaya kerajaan dapat merangka strategi dengan lebih tepat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Impak Kecerdasan Buatan (Ai), digital dan ekonomi hijau ke atas tenaga kerja di MITEC, di sini, hari ini.
Tambahnya, kesemua data yang diperoleh dapat dilihat dan diakses oleh orang awam di dalam portal baharu, iaitu MyMahir.
“Kementerian di bawah Talent Corp akan sentiasa mengemaskini perubahan dalam portal itu untuk merancang dasar baharu agar Perniagaan Kecil Sederhana (PKS) dan syarikat melihat trend masa hadapan.
“Selain itu, ia juga akan memberi ruang kepada bakal graduan dan pihak universiti untuk membuat persiapan,” tambahnya.
Sebagai persiapan menghadapi tahun 2025, pihaknya juga telah menyediakan dana kira-kira RM3 bilion untuk manfaat pelbagai agensi.
Ini termasuk kegunaan 33 Institut Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Talent Corp, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam penyediaan kursus untuk meningkat kemahiran berkaitan. – MalaysiaGazette