Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Foto ABDULLAH YUSOF, 26 APRIL 2024.

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyuarakan kebimbangannya terhadap ketagihan dadah dalam kalangan masyarakat.

Baginda bertitah, masalah ketagihan terbukti membawa masalah sosial lain yang boleh mengundang jenayah dan merbahaya.

“Berpunca daripada dadah yang mungkin hanya ingin mencuba pada awalnya, akhirnya akan membawa kepada kerosakan yang tidak pernah dijangka, akal fikiran menjadi celaru, lemah dan lesu, rumah tangga yang dibina sekian lama boleh musnah sekelip mata, institusi keluarga runtuh tidak semena-mena, jenayah seksual menjadi biasa, lebih parah apabila ia melibatkan pemandu di atas jalanraya yang akan menyebabkan kematian diri dan pengguna jalanraya yang lain,” titah baginda di Facebook.

Baginda memetik statistik yang direkodkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengenai penyalahgunaan dan penagih dadah di Malaysia bagi tahun 2024 meningkat 31.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Amat malang kata Sultan Selangor apabila rata-rata penagih adalah dalam golongan Melayu dan beragama Islam iaitu sebanyak 76.8 peratus.

Terdahulu, baginda senada dengan khutbah Jumaat di negeri itu  yang mengupas tajuk ‘Gejala Dadah: Sekali Cuba Merana Selamanya’.

“Melakukan perkara yang merosakkan akal fikiran seperti mengambil dadah adalah diharamkan kerana ia membunuh dan merosakkan akal,” titahnya.

Baginda turut menyeru masyarakat prihatin dan tidak menyisihkan golongan yang memerlukan bantuan tersebut.

“Didiklah dan bantulah mereka untuk membina semula jati diri, mengukuhkan semula keyakinan diri, serta membuka semula peluang untuk memperbetul kesilapan lampau,” titah baginda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast